SEBANYAK 11 das tembakan meriam dilepaskan pada 10.05 pagi sebagai simbolik Istiadat Pernikahan Diraja disempurnakan antara Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz.
Memetik Media Selangor, tembakan kehormatan itu dijalankan pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) berpangkalan di Kem Sungai Buloh.
Penyatuan cinta kedua-dua mempelai diraja itu terdahulu menyaksikan Tengku Amir Shah yang berkenan berarak sejauh 650 meter pada jam 9 pagi yang bermula di Galeri Sultan Abdul Aziz menuju ke Istana Alam Shah.
Baginda berkenan menyertai perarakan sejauh 650 meter bermula dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ke Istana Alam Shah bagi majlis pernikahan yang diadakan secara tertutup untuk diijabkabulkan bersama pasangan Baginda Afzaa Fadini Abdul Aziz.
Memetik Awani, Perarakan Diraja yang turut menarik perhatian ramai, dengan iringan muzik kompang. Dalam masa sama, orang ramai terutama kanak-kanak turut kelihatan teruja, melambai ke arah Raja Muda Selangor.
Upacara pernikahan itu bagaimanapun berlangsung secara tertutup manakala liputan media hanya dibenarkan di kawasan luar istana.
Difahamkan, pihak Istana Selangor bakal mengeluarkan kenyataan rasmi pernikahan diraja dengan lebih terperinci.
Sekadar info, Istiadat Pernikahan Diraja akan berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah pagi ini, manakala Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja pada 22 Oktober.
Sumber: Awani, Media Selangor, Buletin TV3