'Dua malam tak tidur, risau anak bongsu kena tahan' - Syafik Shukri sempat video call  ibu sebelum kapal Conscience dipintas

Iklan

IBU kepada aktivis dan wartawan Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil, Rodziah Abdullah meluahkan rasa sedih dan sayu susulan penahanan anak bongsunya  ketika menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens To G4z4 (FFCxTTMG).

Rodziah dalam nada sebak, berkongsi momen ketika mendapat tahu anak kesayangannya itu berada dalam salah satu sembilan kapal misi kemanusiaan yang dirampas secara haram oleh Isr4el pada 10.50 pagi Rabu.

Iklan
Iklan

"Dua malam saya tak boleh tidur. Sekejap bangun, fikir macam mana keadaan Syafik di sana.

“Lepas dengar berita tu, saya terus hilang selera makan. Risau sangat. Ya ALLAH, hati ni Tuhan saja yang tahu,” katanya kepada Astro AWANI.

Iklan

Mengenang detik awal ketika menyuarakan hasrat untuk menyertai FFC x TTMG, Rodziah sebak.

"Katanya 'Mama ini cita-cita Syafiq, nak pergi juga. Mama doakanlah' kata dia. Abang dan kakaknya kata kalau begitu keputusannya, pergilah. Kita doa kepada ALLAH," tuturnya.

Iklan

Mengimbas kembali Rabu lalu, kata Rodziah berkata Syafik sempat membuat panggilan video sekitar jam 8.45 pagi, kira-kira dua jam sebelum keseluruhan Freedom Flotilla Coalition (FFC)  dipintas.

“Dia video call mak cik dan kakak-kakaknya. Lepas tu dia kata, Ma, ok Ma nak tidur sekejap? Saya kata, pergilah tidur.

"Namun tak lama selepas itu, keluarga dikejutkan dengan berita penahanan Syafik. Kakak dia beritahu, Ma, Syafik dah kena tangkap. Saya kata, eh tak lah, baru tadi dia berborak dengan sama. Tapi bila kakak dia sahkan berita itu, saya terus rasa lemah," katanya.

Usia menerima berita berkenaan, dia terus mengambil air wuduk dan menunaikan solat hajat sekali  gus menyerahkan segalanya kepada ALLAH.

Pun begitu, kini wanita itu bersyukur apabila mendapat tahu anak lelakinya selamat.

“Alhamdulillah, sekarang saya dapat tahu Syafik selamat, saya bersyukur sangat,” katanya.

Pada April 2024, Syafik terdahulu menyertai misi Break the Siege: Freedom Flotilla to G4z4. Walaupun misi tersebut terpaksa dihentikan selepas hampir seminggu berada di Istanbul atas faktor diplomatik dan pentadbiran, pengalaman itu semakin mengukuhkan komitmen beliau terhadap kewartawanan berteraskan kemanusiaan.

Imbas kembali, misi kemanusiaan FFC telah dipintas tentera Israel pada 10.50 pagi Rabu waktu Malaysia.

MyCARE memaklumkan sembilan kapal termasuk Conscience dan Umm Saad yang dinaiki sembilan aktivis Malaysia telah dipintas rejim Israel.

Syafik  antara delegasi yang menyertai misi tersebut bersama kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.

Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan Syafik manakala seorang lagi doktor perubatan, iaitu Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad. 

Beberapa aktivis Malaysia dikasari

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar memaklumkan beberapa aktivis Malaysia yang menyertai FFC x TMTG dilaporkan telah dikasari dan mengalami penderaan fizikal serta layanan tidak berperikemanusiaan semasa dan selepas pemintasan oleh tentera Israel.

Menurutnya, peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab (ADALAH) memaklumkan rejim Zi0ni5  berkenaan turut menendang, menampar dan mencengkam secara agresif serta melakukan perkara sama terhadap peserta kali ini seperti yang dialami peserta misi Global Sumud Flotilla sebelum ini.

"Sembilan aktivis Malaysia disahkan tiada kecederaan, namun pihak MyCARE akan mengatur pemeriksaan lebih lanjut sejurus dibebaskan bagi memastikan kesihatan mereka dalam keadaan yang baik,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini FFC di Serdang pada Khamis. 

Dalam perkembangan terkini, sembilan aktivis Malaysia yang diculik tentera Isr4el semasa misi kapal Conscience dijangka tiba di Istanbul malam ini bersama aktivis dari 22 negara lain.

Sumber: Awani 1, 2, Bernama