Rizman Ruzaini tenang hadapi isu hutang & lancar butik baharu- ‘Selagi nama tak disebut, tiada komen’

Iklan

ISU hutang yang hangat diperkatakan selepas pelakon Datin Intan Najuwa mendedahkan perkara itu di media sosial sememangnya mencuri tumpuan ramai.

Ramai yang mula berteka-teki, adakah pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini, benar-benar terlibat dalam kontroversi tersebut.

Iklan
Iklan

Namun, Rizman memilih untuk kekal tenang.

Iklan

“Sejujurnya, sehingga kini kami masih tiada komen apa-apa sebab kami tidak tahu sama ada ia ditujukan kepada siapa. Selagi nama kami tidak disebut, memang tiada komen,” katanya jujur.

Bagi Rizman, lumrah dunia fesyen selama 20 tahun ini penuh dengan naik turun.

Iklan

"Kami ada naik turun, macam roller coaster betul-betul. Tapi apa yang kami lakukan adalah kerana misi yang sangat besar dan kuat. Kami terus bergerak ke hadapan,” jelasnya.

Sokongan pelanggan pula menjadi tulang belakang jenama tersebut.

“Pelanggan kami memang sangat setia, mereka memahami nilai jenama. Fokus kami adalah perniagaan, dan itulah yang membuatkan label ini kekal relevan,” tambah Rizman.

Dalam pada itu, perjalanan 20 tahun Rizman Ruzaini turut diserikan dengan pencapaian baharu apabila jenama fesyen tersohor tanah air ini membuka butik flagship pertama RR by Rizman Ruzaini di Suria KLCC.

Pembukaan butik ini bukan sekadar penambahan ruang niaga, tetapi simbol kejayaan duo pereka tersohor,  yang kini melangkah ke tahap baharu dalam dunia fesyen “affordable luxury”.

Menurut Rizman Nordin, butik KLCC membawa makna istimewa kerana ia mencerminkan identiti sebenar jenama yang mula mendapat perhatian menerusi rekaan elegan dan penuh keanggunan.

“Butik ini merupakan flagship store sebenar kami selepas pembukaan pop-up store di Pavilion sebelum ini. Kami mahu mewujudkan ruang yang benar-benar mencerminkan identiti RR by Rizman Ruzaini — segar, moden, mampu milik, tetapi tetap mewah,” ujar Rizman.

Beliau menegaskan pencapaian ini menjadi simbol perjalanan panjang mereka dalam industri fesyen.

"Ia bukan perjalanan mudah, namun dengan usaha gigih, visi yang jelas dan sokongan pelanggan, kami berjaya sampai ke tahap ini,” jelas Rizman.

INSPIRASI JENAMA ANTARABANGSA

Berbeza dengan butik di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur yang berfungsi sebagai “Maison” untuk pelbagai segmen seperti Couture, Bridal dan RR Ready-to-Wear, butik KLCC memberi fokus sepenuhnya kepada jenama RR by Rizman Ruzaini, berkonsepkan affordable luxury.

“Kami mahu pelanggan menikmati pengalaman membeli-belah eksklusif, tetapi harga tetap berpatutan dengan kualiti yang tinggi,” tambahnya.

Pembukaan butik ini juga sebahagian daripada strategi jangka panjang jenama bagi memastikan pendekatan perniagaan mampan.

Rizman menjelaskan, mereka mengambil inspirasi daripada jenama antarabangsa seperti Zara serta jenama tempatan seperti Bonia dan Padini untuk membina model perniagaan yang kukuh dan versatil.

“Kami mahu RR by Rizman Ruzaini menjadi jenama tempatan yang berdiri sama tinggi dengan nama besar dunia,” jelasnya lagi.

Bukan itu sahaja, jenama ini turut memperkukuh kedudukan di pasaran Asia dengan kerjasama strategik bersama Modernity Group dari Indonesia.

“Kerjasama ini membuka peluang untuk berkembang ke pasaran serantau secara lebih tersusun dan selaras dengan piawaian global,” jelas bapa kepada dua cahaya mata itu lagi.