'Pakai mask, please!’ – Pegawai farmasi kongsi situasi jabatan emergency penuh pesakit influenza, kanak-kanak ramai terjejas

Iklan

INFLUENZA  sedang merebak dengan sangat cepat. Masakan tidak, sudah banyak institusi pendidikan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah susulan penularan jangkitan influenza dalam kalangan pelajarnya.

Tular di laman sosial sebuah video memaparkan pegawai farmasi yang bertugas di sebuah hospital berkongsi situasi sebenar di jabatan kecemasan (ED) menghadapi kesesakan pesakit terutama kanak-kanak dengan simptom influenza sejak beberapa hari lalu..

Iklan
Iklan

Fatin Nasuha Azizi menerusi TikTok meminta warganet memakai pelitup muka bagi mengelakkan jangkitan influenza.

"Walau di manapun korang berada sekarang ni, pakailah mask. Please, please, please. 

Iklan

"Kami di tempat kami macam gila hari ni. Memang ED, ramai gila. 

"Semua, most of patient yang datang bawa anak ke ED. Semua kena influenza tau. So, korang pakailah mask. Okay?” pesannya penuh rasa prihatin.

Iklan

Kepada Sinar Harian, beliau berkata, lonjakan kes yang mendadak memaksa pihak farmasi hospital menambah stok ubat antivirus Tamiflu secara besar-besaran bagi memenuhi permintaan pesakit.

Jelas Fatin Nasuha, peningkatan kes berlaku secara tiba-tiba, melibatkan ramai ibu bapa yang membawa anak-anak mereka mendapatkan rawatan segera.

"Hari ini kami ‘top up’ Tamiflu banyak sangat. Semua pesakit datang bawa anak ke ED. Hampir semua kena influenza," katanya menerusi satu video di TikTok pada Khamis.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), influenza atau selesema bermusim bukanlah penyakit ringan, sebaliknya boleh menyebabkan komplikasi serius seperti radang paru-paru, sawan dan dalam kes tertentu, kematian terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kecil, warga emas dan individu dengan sistem imun yang lemah.

Influenza menular dengan cepat melalui titisan pernafasan apabila seseorang yang dijangkiti bersin atau batuk. Ini menjadikan tempat awam seperti sekolah, pusat beli-belah dan pengangkutan awam sebagai kawasan berisiko tinggi.

Tambah Fatin Nasuha, langkah pencegahan kekal sebagai kaedah paling berkesan untuk membendung penularan virus tersebut.

Antara saranan yang dikemukakannya termasuk memakai pelitup muka di tempat awam, kerap mencuci tangan dengan sabun atau bahan pembasmi kuman, menjaga penjarakan fizikal serta menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin menggunakan tisu atau sapu tangan.

"Vaksinasi influenza juga digalakkan, terutamanya menjelang musim penularan. Vaksin influenza perlu diambil setiap tahun kerana virus ini mengalami perubahan genetik secara beransur-ansur, menjadikan vaksin tahun sebelumnya kurang berkesan terhadap varian baharu.

"Vaksin mengambil masa kira-kira dua minggu untuk membina imuniti dalam tubuh selepas suntikan. Ia membantu sistem imun menghasilkan antibodi khusus yang mampu mengenal pasti dan menyerang virus influenza jika tubuh terdedah kepada jangkitan," katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun vaksin influenza tidak menjamin perlindungan sepenuhnya, ia mampu mengurangkan risiko jangkitan teruk, mengelakkan kemasukan ke hospital dan paling penting, mengurangkan kadar kematian akibat komplikasi selesema.

“Lindungi yang tersayang. Jangan tunggu sehingga anak dimasukkan ke ED baru mahu bertindak,” tegasnya, sambil menyeru masyarakat agar tidak mengambil mudah terhadap penyakit ini.

Sekadar info, influenza ialah jangkitan virus pada saluran pernafasan yang boleh menyebabkan demam, selesema dan batuk, serta menjejaskan golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan wanita mengandung.

KKM menasihatkan orang ramai yang bergejala, mengamalkan langkah pencegahan seperti berehat di rumah, tutup hidung dan mulut ketika batuk/bersin, mengelak daripada berkongsi peralatan peribadi dan mendapatkan rawatan doktor jika gejala berterusan.

Antara gejala influenza ialah demam, selesema dan batuk.

Sumber: TikTok, Sinar Harian, Instagram