PELAKON jelita, Siti Saleha memuat naik berita gembira bersama peminat apabila mendedahkan jantina anak sulungnya.
Berkongsi video acara dipanggil majlis mitoni atau mandi bunga iaitu upacara adat Jawa yang diadakan untuk meraikan kehamilan, terutamanya apabila kandungan mencapai usia tujuh bulan, bintang Nora Elena dan Tujuh Hari Mencintaimu itu turut mengadakan majlis ‘gender reveal.'
"Alhamdullillah majlis mitoni atau mandi bunga dan gender reveal berjalan dengan lancar.
"We’re having a baby boy ," titipnya menerusi akaun @sallywho.
Perkongsian itu telah menerima pelbagai reaksi balas warganet dan rata-ratanya mengucapkan tahniah serta syukur atas berita gembira tersebut dan mendoakan agar pelakon tersebut selamat melahirkan.
Saleha terdahulu mengumumkan mengandung ketika kehamilan memasuki lima bulan Julai lalu.
Saleha berkahwin dengan pereka fesyen, Joshua Futton pada 15 Februari lalu dalam satu acara di sebuah resort mewah di Janda Baik, Bentong, Pahang.
Sekadar info, Saleha terdahulu pernah mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Lutfi Azhar pada 28 Julai 2017 namun bercerai pada 17 Januari 2022.
Perkahwinan berkenaan tidak dikurniakan cahaya mata.