Reda kehilangan ibu dan ayah, Khai Bahar akui pernah alami anxiety: 'Syukur didikan mereka buat saya tenang'

Iklan

SETIAP kehilangan meninggalkan ruang sunyi yang tidak dapat diisi walau dengan seribu senyuman. Namun bagi penyanyi popular Khai Bahar, sunyi itu kini menjadi sebahagian daripada kehidupannya, sepi yang mengajar erti reda dan kekuatan diri.

Dalam tempoh tidak sampai dua tahun, pemilik nama penuh Muhammad Khairul Baharuddin ini diuji dengan kehilangan dua insan paling dicintai; ibunya Rosnah Muhammad, 62, pergi menghadap Ilahi pada awal tahun lalu, diikuti pula ayah tersayang, Baharuddin Backri, 66, yang menyusul pada 19 September lalu.

Iklan
Iklan

Mungkin di mata umum, Khai masih lelaki sama yang suka bergurau, masih hadir di pentas dengan senyuman menenangkan, tetapi di sebalik wajah itu tersimpan kisah getir tentang perjuangan emosi yang panjang. 

Ini bukan sekadar kisah seorang anak kehilangan ibu dan ayah, tetapi perjalanan seorang insan yang sedang belajar berdamai dengan luka batin dan kesedihan yang tidak bertepi.

Iklan

Dalam nada perlahan, pelantun lagu Luluh itu mengakui, tempoh tersebut benar-benar menggoncang jiwanya. Satu fasa yang memerlukan kekuatan bukan sedikit untuk diterima dan dihadap

“Situasi ini ambil masa untuk saya terima. Dulu pernah rasa sedihnya kehilangan ibu, kemudian ayah pula. Rasa sedih yang tidak pernah dilalui sebelum ini, tetapi harus hadapi, sebab sama ada saya atau ibu bapa yang akan pergi dulu,” ujar Khai dengan suara yang tenang namun sarat emosi.

Iklan

Kehilangan ibu dan ayah memberi impak buat Khai.

Penyanyi berusia 31 tahun itu juga mengakui, setiap kali berada di atas pentas, kenangan terhadap kedua-dua ibu bapanya sering datang tanpa diundang.

“Setiap kali nak buat persembahan, besar atau kecil, ibu bapa antara yang paling awal menanti sama ada di depan kaca televisyen atau sekadar mendengar di radio.

“Sekarang bila tiada, rasa kosong itu sangat kuat, terutama pada awalnya,” katanya lagi ketika ditemui SinarPlus, lima hari selepas pemergian ayah tersayang.

Kehilangan bertimpa-timpa itu turut membuka pandangan baharu tentang erti hidup dan kasih sayang. Jika dahulu dia banyak berlari mengejar masa serta kerjaya, kini Khai lebih menghargai detik kecil bersama keluarga dan insan yang masih ada di sekelilingnya.

“Saya tidak pernah rasa mahu patah balik masa sebab mak ayah dah ajar tentang kehidupan. Kami dibesarkan dalam kesusahan, tapi penuh kasih.

“Bila lalui ujian begini, saya bersyukur kerana didikan mereka buat saya tenang dan reda,” katanya penuh makna.

Fasa sembuh

Namun, di sebalik ketenangan dan wajah sabarnya, dia pernah berdepan dengan masalah kesihatan mental yang cukup menakutkan. 

Anak jati Kangar, Perlis itu mendedahkan bahawa sebelum kehilangan kedua ibu bapanya lagi, dia sudah lama bergelut dengan anxiety dan serangan panik sehingga mengalami kesukaran bernafas.

“Tidak lama selepas ibu meninggal dunia, saya berdepan dengan masalah anxiety. Saya pernah menangis tanpa sebab selama setahun.

“Bila malam, jantung laju dan selalu berpeluh. Saya usaha rawat diri, bertemu doktor, buat carian tentang masalah yang dihadapi,” ujarnya jujur.

Khai tidak membiarkan emosi terus mengganggu kesihatan mentalnya.

Bagi anak keempat daripada enam beradik itu, proses penyembuhan bukan sesuatu yang segera. Ia memerlukan keberanian untuk mengenal diri, menerima keadaan dan membina semula kekuatan mental melalui perubahan pemikiran.

“Masalah ini ikut atas diri masing-masing. Lagi kita panik, lagi teruk jadinya. Saya cuba lawan balik supaya dapat diri saya yang dulu.

“Memang susah, tapi sekarang alhamdulillah, saya dah boleh kawal,” katanya yang kini tidak lagi bergantung kepada ubat seperti di awal fasa rawatan.

Langkah baharu 

Menginjak ke penghujung tahun, Khai melihat 2025 sebagai masa untuk berehat dan menenangkan diri sebelum melangkah ke fasa baharu dengan semangat yang diperbaharui.

“Tahun ini saya banyak berehat. Untuk 2026, saya nak beri tumpuan pada kerjaya dan peminat. Saya nak mulakan tahun baharu dengan semangat baharu,” katanya yang sedang merancang beberapa projek muzik termasuk single duet yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Dalam masa sama, Khai turut menitipkan pesan buat anak muda yang berdepan kehilangan insan tersayang agar tidak menolak kesedihan, sebaliknya belajar menyalurkannya dengan cara yang betul.

“Bagi yang masih ada ibu bapa, jagalah sebaiknya, tidak kira baik atau buruk, mereka tetap ibu bapa kita.

“Bagi yang sudah tiada, saya faham rasa itu. Kadang-kadang kita cuma perlukan sokongan orang sekeliling untuk kuat,” tambahnya lagi.