INSIDEN tragis membabitkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya cukup menyayat hati.
Difahamkan, pelajar berusia 16 tahun itu ditikam suspek berumur 14 tahun selepas didakwa dia menolak perasaannya.
Lapor portal berita tempatan, seorang pelajar yang menyaksikan kejadian itu berkata, suspek dikatakan meluahkan perasaannya kepada mangsa pada malam sebelum serangan, namun remaja perempuan itu menolak kerana tidak mempunyai perasaan yang sama.
Saksi berkenaan berkata, suspek yang bersenjatakan beberapa objek tajam telah mengekori pelajar Tingkatan Empat itu ke tandas perempuan sebelum menyerangnya dalam salah sebuah kubikel.
"Dia memegang pisau dan menahan mangsa sebagai tebusan dalam tandas. Kemudian dia mula menikamnya berulang kali," kata pelajar itu yang enggan namanya disiarkan.
Susulan perlakukan itu, rakan mangsa yang berada berhampiran segera berlari mendapatkan bantuan daripada guru disiplin.
"Guru itu bergegas ke tandas dan cuba menendang pintu. Selepas beberapa kali cubaan, pintu berjaya dipecahkan, tetapi suspek melarikan diri dan mula mengejar pelajar lain dengan pisau," katanya.
Situasi menjadi semakin kecoh apabila suspek dikatakan meluru masuk ke beberapa kelas Tingkatan Satu sambil memegang senjata yang berlumuran darah.
"Dia masuk ke kelas dan semua orang mula menjerit dan berlari keluar. Bajunya penuh dengan darah," kata saksi itu lagi.
Artikel berkaitan:
Abang suspek rampas pisau
Situasi cemas itu hanya berakhir apabila abang suspek bersama beberapa guru berjaya menahan pelajar Tingkatan Dua itu serta merampas senjata berkenaan.
"Abang suspek bergelut dengannya sebelum dapat merampas pisau itu. Guru-guru cuba menenangkannya," katanya.
Pelajar itu mendakwa suspek berang selepas luahan hasrat hatinya ditolak.
"Kami diberitahu dia meluahkan perasaan kepada mangsa malam sebelumnya dan marah apabila ditolak," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan bahawa siasatan yang dijalankan membawa kepada motif berkenaan.
"Saya tidak dapat mendedahkan lebih lanjut kerana siasatan masih dijalankan, termasuk mengenal pasti motif sebenar serangan itu.
"Saya akan memberikan maklumat lanjut selepas kami memperoleh hasil siasatan yang kukuh," katanya.
Ditikam berkali-kali
Dalam pada itu, Shamsudin mendedahkan kejadian berlaku sekitar jam 9.30 pagi di luar kelas berhampiran kawasan tandas perempuan.
Dua senjata tajam dipercayai digunakan oleh suspek telah dirampas polis.
Lebih menyayat hati, siasatan awal mendapati terdapat beberapa tikaman di bahagian badan mangsa.
"Kami ada rampas dua senjata tajam yang kita percayai digunakan dalam kejadian ini. Kami akan sahkan kemudian (jenis senjata digunakan) nanti," katanya.
"Kecederaan tikaman (didapati di bahagian badan (mangsa). Apabila laporan postmortem (bedah siasat) keluar nanti, kita akan tahulah berapa jumlah tikaman yang sebenar," katanya.
Terdahulu SinarPlus berkongsi pelajar perempuan Tingkatan Empat maut ditikam. Suspek pelajar yang merupakan pelajar Tingkatan Dua membawa pisau ke sekolah. Pelajar perempuan itu telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sumber: Berita Harian