TRAGEDI berdarah membabitkan pelajar di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini cukup menyayat hati.
Pelajar berusia 16 tahun pergi selamanya selepas menjadi mangsa ditemui berlumuran darah akibat kecederaan dengan beberapa kesan tikaman pada badan dipercayai perbuatan suspek berusia 14 tahun.
Siapa sangka, 14 Oktober adalah hari terakhir ibu mangsa mampu menatap anak gadis kesayangannya sebelum maut dalam peristiwa tragis. Beberapa hari berlalu, wanita berkenaan meluahkan rasa rindu.
“Ibu akan sentiasa menyayangi dan merindui kamu, selalu,” titipnya.
Menurut ibunya, mangsa dikenali sebagai seorang anak perempuan yang berhati mulia dan penuh kasih sayang, malah tidak pernah menimbulkan kebimbangan kepada keluarganya.
“Dia seorang anak yang sangat penyayang, baik hati dan berdisiplin. Sejak kecil, dia tidak pernah membuat kami risau.
“Dia sentiasa mengambil berat terhadap ibu bapa dan orang lain, serta tidak pernah meminta apa-apa daripada kami,” tulisnya.
Si ibu turut menggambarkan anak perempuannya sebagai seorang yang bijak, berbudi pekerti dan sentiasa disayangi oleh ahli keluarga serta rakan-rakan.
“Anak seindah itu, namun ditimpa nasib yang begitu kejam. Saya benar-benar kehilangan kata-kata, hati saya amat sakit.
“Semoga dia berada dalam keadaan baik di dunia lain, semoga rohnya tenang dan bahagia. Ibu akan sentiasa menyayangimu dan merindui kamu, selalu,” katanya.
Dalam hantaran yang sama, wanita itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua kenalan yang terdekat atas keprihatinan dan doa yang disampaikan.
Terdahulu, polis mendedahkan suspek berusia 14 tahun yang merupakan Tingkatan Satu (Kelas Peralihan) menyukai mangsa, namun tidak pernah meluahkan perasaan.
Siasatan mendapati, tiada sebarang hubungan atau interaksi antara kedua-dua pelajar berkenaan sebelum kejadian berlaku.
Polis juga mendedahkan, hasil bedah siasat mendapati banyak kesan luka ditemui pada tubuh mangsa dan telah ditikam berulang kali pada bahagian leher dan dada
Suspek yang berjaya ditahan pada hari sama direman tujuh hari bermula 15 OKtober lalu.
Sumber: Kosmo Online