PENYANYI dan usahawan, Ahmad Nubhan Ahamad menafikan dakwaan wujudnya orang ketiga yang menjadi punca kemelut rumah tangganya bersama isteri, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 36.
Menurut Nubhan, 39, tuduhan sedemikian tidak benar sama sekali dan beliau berharap semua pihak berhenti membuat spekulasi berhubung isu berkenaan.
“Itu tidak benar, tidak benar sama sekali. Saya faham, banyak spekulasi timbul sebab perkara ini mengejutkan ramai pihak.
“Saya harap semua dapat menghormati proses yang sedang berjalan dan doakan yang terbaik untuk saya serta pihak sana,” katanya ketika ditemui selepas prosiding pertama kes pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Khamis.
Dalam masa sama, penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu menzahirkan rasa reda dengan apa yang berlaku dan menyerahkan sepenuhnya kepada ketentuan takdir.
“Itulah… apa yang saya boleh cakap, saya cuma minta doa semua, doa yang terbaik untuk kami. Tiada siapa pun mahu perkara ini berlaku.
“Saya tak boleh komen lebih sebab isu ini masih dibicarakan di mahkamah dan pihak peguam saya sudah jelaskan mengenai tarikh lanjutan yang ditetapkan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Oh Juwita itu berkata, dia menghormati peranan semua pihak dan berusaha menjaga hati banyak pihak yang terlibat.
“Saya reda dengan apa yang dah berlaku dan hormati pihak media yang hadir. Terima kasih sebab datang, tapi saya tidak boleh ulas lebih kerana perlu menjaga hati banyak pihak,” katanya.
JALAN PENDAMAIAN
Dalam pada itu, Nubhan turut memaklumkan dia dan isteri masih berusaha mencari jalan perdamaian bagi menyelesaikan isu rumah tangga mereka secara baik.
“Insya-ALLAH, kita sedang usahakan sebenarnya… jalan pendamaian tetap akan diusahakan,” ujarnya ringkas.
Ketika ditanya mengenai anak-anak, Nubhan menjelaskan ketiga-tiga cahaya matanya kini berada di bawah jagaan isterinya.
“Anak-anak sekarang berada dengan pihak sanalah. Saya akan pastikan mereka tetap dijaga dengan sebaiknya,” katanya menutup bicara.
Pada prosiding yang berlangsung itu, Hakim Syarie Tuan Muhamad Nazri Basrawi menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan bagi kes berkenaan.
Dalam prosiding tersebut, Nubhan selaku plaintif diwakili peguam syarie Mohd Redzuan Ramli, manakala pihak defendan (Dr Afifah) diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader.
Sebelum ini, Akberdin memaklumkan Nubhan pernah melafazkan cerai terhadap isterinya pada tahun 2017, namun pasangan itu kembali rujuk dalam tempoh idah.
Menurut peguam syarie itu, Nubhan memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah yang didakwa berlaku dalam sebuah kereta pada 26 Ogos lalu.
Katanya lagi, perceraian kali ini berlaku secara baik tanpa sebarang konflik besar, sebaliknya berpunca daripada perselisihan faham dalam rumah tangga.
Difahamkan, sejak kejadian itu pasangan berkenaan tidak lagi tinggal sebumbung.
Untuk rekod, Nubhan yang mula dikenali menerusi program realiti Akademi Fantasia 6 dan Dr Afifah, yang juga seorang doktor gigi, mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkongsian hidup selama hampir 10 tahun, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3 tahun.