AKTIVITI pendakian berakhir duka apabila seorang pendaki yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 10 orang rakan di Gunung Liang, Tanjung Malim, Perak.
Namun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) apabila mangsa, Mustaqqeem Mansoor, 34, ditemukan maut pada jam 3.30 petang di puncak Gunung Liang Barat.
Menurut Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, ketua operasi melakukan pencarian mangsa dengan mengaplikasikan konsep LAST dan mengikuti peta laluan pendakian sehingga ke lokasi terakhir mangsa dipercayai hilang.
SAR melibatkan 22 anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Pasukan Bantuan Sukarela (PBS) Slim Village dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Berikut kronologi kejadian:
1-Mangsa difahamkan bersama 10 rakan memulakan pendakian dari Bukit Fraser, Pahang pada 10 Oktober.
2-Mereka dijadualkan turun di Gunung Liang namun kali terakhir dilihat pada 14 Oktober sekitar jam 10.30 malam di puncak Gunung Liang Barat dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan.
3-Proses membawa mangsa menggunakan helikoper selesai kira-kira jam 3.30 petang Jumaat.
4-Ia terdahulu ditangguh susulan faktor cuaca dan asukan berkenaan bermalam di atas puncak Gunung Liang.
5-Terdahulu, media melaporkan mangsa dipercayai hilang ketika melakukan aktiviti mendaki bersama 10 rakan di Gunung Liang dengan pasukan bomba melakukan SAR.
Menerusi satu hantaran di Thread, warganet meluahkan kesedihan dan berharap pihak penganjur dan peserta pendakian lain prihatin kebajikan rakan sepasukan.
"Sedih, ada orang meninggal masa hiking. Cedera dan ditinggalkan di puncak, tidak pasti sebab apa. Dua hari kemudian SAR jumpa dah meninggal. Kena tunggu hasil siasatan nak tahu lebih detail.
"Patutnya guide kalau jadi sweeper pastikan kau orang terakhir, sebab tu memang dah tugas kau. Pernah dengar ada team buat dayhike, tapi sebabkan ada line up injured mereka keluar lepas 36 jam hiking kot. Ini baru bertanggungjawab," katanya.
Sementara itu, seorang lagi warganet menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penganjur dan menegur bertanggungjawab dalam memilih peserta kerana melibatkan keselamatan nyawa manusia.
"Lain kali kalau malas nak cepat, select lah betul-betul line up.
"Nyawa orang jangan buat main. Kalau open trip, kena prepare dengan line up slow tak pernah hiking ke, line up senang injured ke. Jangan lepas tangan," kongsinya.
Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Ketua Polis Perak, Senior Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, Allahyarham meninggal dunia kerana masalah kesihatan dan bukan disebabkan jatuh.
Pihak polis turut mengesahkan yang dua malim gunung yang terlibat dalam misi mendaki turut ditahan kerana memasuki kawasan rizab hutan tanpa permit sah.
Semakan mendapati kumpulan itu hanya mempunyai permit sah bagi laluan di Bukit Fraser, Pahang iaitu lokasi mereka memulakan aktiviti mendaki.
"Tangkapan dibuat mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984, bagaimanapun mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan permit dan kebenaran sebelum melakukan aktiviti pendakian terutama bagi laluan yang merentasi sempadan negeri untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.