BERITA keretakan rumah tangga penyanyi dan usahawan, Nubhan Ahamad, dengan isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, nyata mengundang rasa pilu dalam kalangan peminat dan warganet.
Pasangan yang telah mendirikan rumah tangga 10 tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata itu difahamkan sudah tidak lagi tinggal sebumbung sejak 27 Ogos lalu susulan lafaz dipercayai akibat perselisihan faham sehari sebelumnya.
Mengharungi fasa getir dalam kehidupan berumah tangga, Dr Afifah kini melalui detik yang bukan mudah sebagai seorang isteri dan ibu.
Malah, hantaran di Insta Story doktor gigi itu menyentuh hati seolah menzahirkan rindu kepada suami.
"Tak dapat tengok abah, tengok anak ibu seorang ini pun jadilah," kongsinya.
Terdahulu, Dr Afifah yang hadir prosiding pertama pengesahan lafaz talak di Mahkamah Rendah Syariah Sepang berkata beliau masih sayangkan keluarga dan menolak punca keretakan akibat orang ketiga.
Sebelum ini, peguam syarie yang mewakili Dr Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kadir memaklumkan Nubhan pernah melafazkan cerai terhadap isterinya pada tahun 2017, namun pasangan itu kembali rujuk dalam tempoh iddah.
Menurutnya lagi, Nubhan memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah yang didakwa berlaku dalam sebuah kereta.
Sekadar info, Nubhan dan Dr Afifah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6; dan Afzan Nayille, 3 tahun.