'Kami sempat makan bersama sebelum dia lafaz cerai'– Dr Afifah pernah diceraikan ketika hamil, akui masih sayang keluarga
ISTERI kepada penyanyi dan usahawan, Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan, iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, mengakui masih menyanyangi keluarganya walaupun kini sedang melalui kemelut rumah tangga.
Ketika ditemui selepas prosiding pertama pengesahan lafaz talak di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Afifah berkata, sebelum berlakunya lafaz cerai pada 26 Ogos lalu, mereka sempat meluangkan masa bersama.
“Kami sempat keluar makan malam dan dalam perjalanan pulang, ada perbincangan antara suami isteri. Namun tiada sebarang pertengkaran besar pun. Kemudian dia lafazkan cerai terhadap saya.
"Sepanjang berkahwin, biasalah kadang-kadang ada pasang surut, tapi saya masih sayangkan keluarga saya. Mungkin ada salah faham (menolak punca keretakan akibat orang ketiga),” katanya.
Mengulas lanjut, Afifah menjelaskan mereka tidak lagi tinggal sebumbung sehari selepas Nubhan melafazkan talak.
Ditanya perasaan setakat ini, Afifah berkata, dia berharap semua orang boleh mendoakan yang baik-baik buat mereka sekeluarga.
“Saya harap semua doakan yang baik-baik untuk saya. Semua orang pun nak bahagia, kan? Jadi saya harap komen pun biarlah yang baik-baik,” katanya lagi.
Tambahnya, semua anak kini berada di bawah jagaannya dan hubungan dengan keluarga mentua masih dalam keadaan baik.
“Saya ada juga jumpa ibu mentua, Mak Jenny. Hubungan kami masih baik. Cuma saya tidak pasti sama ada Mak tahu atau tidak mengenai kami sebab Mak Jenny tak telefon dan kami tidak berhubung secara langsung,” katanya.
Dalam masa sama, Afifah mendedahkan, ini bukan kali pertama dia diuji dengan perceraian.
“Saya pernah dicerai ketika hamil anak pertama, masa itu usia kandungan enam bulan. Lepas itu kami rujuk semula sebab saya nampak tiada tanda-tanda ke arah penceraian lagi. Biasalah asam garam rumah tangga, tapi semua okey,” ujarnya.
Pada prosiding yang berlangsung itu, Hakim Syarie Tuan Muhamad Nazri Basrawi menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan bagi kes berkenaan.
Dalam prosiding tersebut, Nubhan selaku plaintif diwakili oleh peguam syarie Mohd Redzuan Ramli, manakala pihak defendan (Dr Afifah) diwakili oleh peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Sebelum ini, Akberdin memaklumkan Nubhan pernah melafazkan cerai terhadap isterinya pada tahun 2017, namun pasangan itu kembali rujuk dalam tempoh idah.
Menurut peguam syarie itu, Nubhan memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah yang didakwa berlaku dalam sebuah kereta pada 26 Ogos lalu.
Katanya lagi, perceraian kali ini berlaku secara baik tanpa sebarang konflik besar, sebaliknya berpunca daripada perselisihan faham dalam rumah tangga.
Difahamkan, sejak kejadian itu pasangan berkenaan tidak lagi tinggal sebumbung.
Untuk rekod, Nubhan yang mula dikenali menerusi program realiti Akademi Fantasia musim keenam (AF6) dan Dr Afifah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkongsian hidup selama hampir 10 tahun, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6; dan Afzan Nayille, 3 tahun.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

