Kanak-kanak 4 tahun maut tiga jam tertinggal dalam kereta. 'Ibu bapa tak sedar lepas keluar sarapan....'

Iklan

TRAGIS! Hati siapa yang tidak luluh. Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai tertinggal di dalam sebuah kereta selama lebih tiga jam.

Insiden menyayat hati itu berlaku pada Isnin di kawasan Gua Musang, Kelantan yang mana mangsa difahamkan tertinggal dalam kenderaan selepas keluarganya selesai bersarapan.

Iklan
Iklan

Difahamkan, ibu bapanya tidak menyedari bahawa anak bongsu daripada dua beradik itu masih berada di dalam kereta selepas mereka keluar bersarapan pagi dan pulang semula ke rumah, sehinggalah selepas beberapa jam kemudian. 

Mangsa disahkan meninggal dunia akibat strok haba (heatstroke) iaitu keadaan yang berlaku apabila badan terdedah kepada suhu tinggi secara berpanjangan tanpa pengaliran udara yang mencukupi

Iklan

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.50 petang.

Menurut beliau, mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam kenderaan sebelum dibawa ke Hospital Gua Musang namun disahkan meninggal dunia.

Iklan

“Hasil bedah siasat oleh Pakar Patologi Forensik mengesahkan punca kematian disebabkan strok haba (heat stroke),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Laporan Kematian Mengejut.

Choon Foo turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut bagi mengelakkan kekeliruan.

“Pihak polis menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memastikan keselamatan anak-anak di bawah jagaan berada dalam pemantauan rapi,” katanya.

Beliau juga mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Balai Polis Gua Musang di talian 09-9121222.

TIP ELAK TERTINGGAL ANAK DALAM KERETA

Sindrom Terlupa Anak atau Forgotten Baby Syndrome terus berlaku. Justeru anda boleh mengikuti tip yang dikongsi Raising Children Australia ini bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Berikut langkah-langkah perlu dilakukan;

1-Memeriksa tempat duduk belakang setiap kali meninggalkan kereta.

2-Buka pintu belakang kereta setiap kali parkir walaupun tiada sesiapa di belakang.

3-Letakkan beg, bekas bekal makanan atau botol air anak di tempat duduk hadapan di mana anda boleh melihatnya.

4-Tinggalkan sesuatu di tempat duduk belakang di sebelah anak. Pilih item yang anda perlukan selepas meninggalkan kereta seperti telefon, kad akses pejabat, dompet atau beg tangan.

5-Tampal pelekat peringatan pada tingkap kereta atau berhampiran pemegang pintu yang mana ia boleh dilihat apabila anda keluar dari kereta. Pelekat boleh tertera peringatan ‘lihat belakang kereta sebelum kunci’ atau ‘periksa tempat duduk belakang’.