SIJIL kelahiran atau lebih dikenali dengan 'surat beranak' adalah dokumen penting yang mengesahkan kelahiran setiap individu secara rasmi.
Terdapat beberapa versi sijil kelahiran di Malaysia sebelum berevolusi kepada computerized. Sebelum tahun 1997 misalnya, dokumen penting itu lazim dikeluarkan di balai polis dan masih menggunakan tulisan tangan.
Masih ada yang masih menyimpan versi berkenaan? Tahukah anda jenis berkenaan tidak lagi boleh digunakan untuk urusan rasmi dan perlu diperbaharui segera di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)?
Pengguna Facebook Mendra Edin yang berkongsi pengalaman sendiri ketika berurusan di sebuah Pusat Transformasi Bandar (UTC) baru-baru ini.
"Sijil kelahiran kamu masih yang lama, yang tulisan tangan atau cetakan dan sijil kertas yang kecil?
"Harus diperbaharui! Sijil kelahiran yang lama sudah tidak boleh pakai ya dan harus diperbaharui untuk urusan rasmi.
"Ceritanya begini, saya fotostat sijil kelahiran yang lama dan bawa ke UTC untuk pengesahan (ada urusan penting) namun setibanya di sana mereka kata sijil kelahiran saya harus diperbaharui terlebih dahulu kerana sijil kelahiran saya ni sudah lama dan tulisan tangan.
"Saya diminta ke JPN terus untuk perbaharui sijil lahir," kongsinya.
Artikel berkaitan:
- Panik, bimbang MyKad tak boleh dibaca? Ini 5 cara jaga cip supaya tak perlu kerap tukar
- Cara mudah tukar nama anak di JPN, mak-mak wajib tahu
- Pemilik kenderaan telah meninggal dunia, ini cara tukar nama waris perlu tahu
Dalam pada itu, Mendra juga berkongsi pembaharuan itu hanya memerlukan bayaran sebanyak RM5.
"Jadi kepada kamu yang belum perbaharui sijil lahir (jenis tulisan tangan) bolehlah perbaharui. Mana tahu nanti ada urusan penting yang memerlukan dokumen sijil lahir.
"RM5 akan dikenakan bayaran untuk pembaharuan sijil lahir dan sediakan satu salinan MyKad," kongsinya.
Dalam pada itu, Mendra turut berkongsi, bagi kelahiran di Semenanjung, penukaran boleh dilakukan di UTC atau mana-mana cawangan JPN di Semenanjung. Manakala bagi kelahiran di Sabah dan Sarawak, urusan tersebut juga boleh dilakukan secara terus di cawangan JPN di Semenanjung.
Sumber: Facebook Mendra Edin