KASIHNYA seorang abang tiada tandingan. Kisah remaja ini mengundang sebak di hati warganet apabila dia sempat menghadiahkan telefon bimbit kepada adik tersayang sebelum menghembuskan nafas terakhir tepat pada hari lahir adiknya sendiri.
Seolah tahu masa sudah tiba, Muhammad Zafran Hadi bin Mohd Fitrahaizul, 18, yang disahkan menghidap kanser tulang pada 18 Mac 2023 menghadiahkan sebuah telefon pintar pada 16 Oktober, lima hari sebelum Allahyarham pergi selama-lamanya.
Dalam satu hantaran di TikTok, Muhammad Zafran Hadi sempat menyampaikan hadiah berkenaan kepada satu-satunya adik lelaki, Aidil Haziq.
“Esok 21 Oktober (Selasa), hari lahir Aidil Haziq, satu-satunya adik lelaki Zafran.
"Selepas mama dan abah, Aidil yang paling banyak teman dan jaga abang.
"Geng tidur abang, sembang pasal bola, main permainan video, geng segalanya,” titipnya pada kapsyen.
Muhammad Zafran Hadi difahamkan memang ingin menghadiahkan adiknya telefon sebagai simbol kasih sayang. Seperti tahu masanya hampir tiba, remaja itu mahu meninggalkan adiknya dengan kenangan penuh cinta dan penghargaan.
"Abang selalu sebut, “Abang sayang Aidil dan semua adik-adik abang.”
"Tahun ni, Zafran nak sangat hadiahkan Aidil telefon baru sebagai tanda kasih untuk adik yang tidak pernah berkira dan selalu ada bila abang perlukan teman.
Artikel berkaitan:
Lutut rasa mencucuk, rupanya kanser tulang! Hati-hati dengan penyakit sarkoma
'Tanpa pemeriksaan, saya mungkin tak sedar cyst sudah berada di tahap satu kanser' - Zara Zya
Lima hari selepas menyampaikan hadiah buat adik tersayang, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 1.45 pagi, Selasa dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Seri Kundang, Gombak.
Sebuah video lagi memaparkan Aidil Haziq menangis di pusara abangnya usai pengebumian meruntun hati warganet.
Rata-rata memberikan kata semangat buat si adik dan mendoakan moga roh Allahyarham dicucuri rahmat.
Muhammad Zafran Hadi terdahulu menerima kunjungan puteri Sultan Selangor, Datin Paduka Setia Tengku Zatashah binti Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan pemain Selangor FC, Faisal Halim.
Sumber: TikTok