'Tanpa pemeriksaan, saya mungkin tak sedar cyst sudah berada di tahap satu kanser' - Zara Zya

No Image Caption
A
A
A

TIADA siapa menyangka pemeriksaan pengimejan resonan magnetik (MRI) yang pada awalnya dibuat bagi mencari punca sakit pinggang dan masalah arthritis, akhirnya menjadi detik yang menyelamatkan nyawa.

Begitulah yang dialami pelakon, Zara Zya, 39, apabila pemeriksaan itu mendedahkan bahawa sista (cyst) yang dikesan sebenarnya adalah kanser tahap satu.

Memetik laporan akhbar tempatan, wanita itu turut meluahkan rasa syukur kerana penyakit tersebut dapat dikesan awal sebelum ia menjadi lebih parah.

“Saya memang ada arthritis yang buat badan selalu sakit, susah berdiri atau baring lama, dan tak boleh angkat berat. Jadi saya buat MRI hanya untuk masalah itu.

No Image Caption

"Tetapi, doktor menemui fibroid dan cyst. Tanpa pemeriksaan itu, saya mungkin tidak sedar cyst tersebut sudah berada di tahap satu kanser,” kata pemilik nama Zainurul Razia Mohd Zainuddin.

Menyedari perkara itu, Zara segera menjalani tiga pembedahan utama dalam tempoh sebulan termasuk membuang cyst di ovari, prosedur di bahagian buah pinggang dan leher.

“Alhamdulillah, sudah setahun kanser itu dibuang. Sekarang saya lebih berhati-hati, jaga pemakanan, gaya hidup dan jalani fisioterapi.

"Memang sedih dan terkejut bila diberitahu tentang kanser, tetapi saya pilih untuk kekal kuat dan positif," ujarnya.

No Image Caption

Tambahnya, tempoh pemulihan memerlukan Zara berehat hampir lapan bulan sebelum kembali berlakon menerusi drama Dia Imamku yang bersiaran Februari hingga Mei lalu.

“Tahun lalu selepas pembedahan memang saya berehat lama. Saya terima kerana babaknya tidak banyak. Selepas itu saya kembali bekerja secara berperingkat sehingga kini membintangi Bukan Pilihan Hati untuk slot Akasia.

"Syukur juga saya ada pemandu yang membantu. Kalau tiada, mungkin saya menangis kerana tidak mampu memandu untuk ke lokasi penggambaran," jelasnya.

Kisah Zara ini memberi peringatan kepada kita semua bahawa pemeriksaan kesihatan bukan sekadar rutin, tetapi boleh menjadi penyelamat nyawa terutama ketika penyakit datang tanpa tanda jelas.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang