Lutut rasa mencucuk, rupanya kanser tulang! Hati-hati dengan penyakit sarkoma
ALAMI ketidakselesaan di bahagian lutut, siapa sangka itu petanda pemilik nama Zeeda Aziz alami osteosarkoma.
Ia merupakan salah satu jenis sarkoma, juga dikenali sebagai kanser tulang yang agresif.
Penyakit itu sering menyerang golongan muda dan boleh merebak dengan cepat jika tidak dirawat awal.
“Permulaan tahu tentang kanser ini, masa itu saya hamil dalam tujuh bulan.
“Waktu itu lutut rasa menyucuk di bahagian dalam. Saya ingatkan ia disebabkan mengandung, macam sakit belakang lah.
“Selepas sebulan berpantang, saya pergi ke klinik pakar tulang menceritakan semula tentang keadaan lutut yang sakit itu,” kongsinya.
Di klinik, doktor mengambil kedua tangannya dan memegang lutut kiri dan kanan serentak.
Menurut pakar tersebut, lutut yang sakit itu sedikit panas dan meminta wanita berkenaan menjalani proses X-ray.
“Hasilnya nampak dekat dalam tulang saya ada benda bulat macam biji rambutan.
“Doktor kemudiannya meminta saya menjalani proses biopsi,” ujarnya lagi.
Keputusan analisis sampel menunjukkan bahawa ia terdiri daripada sel gergasi dan merupakan ketumbuhan jinak yang tidak memerlukan rawatan kemoterapi.
Kemudian, doktor meminta Zeeda mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di Kelantan.
Di sana, doktor akan membuang ketumbuhan tersebut dan mengisi kawasan berkenaan dengan simen bagi menstabilkan semula tulang.
“Bila sampai di HUSM, doktor tidak mahu terima laporan klinik dan mahu jalani pemeriksaan sendiri menggunakan sampel yang sama.
“Hasilnya, doktor dapati kanser yang saya alami itu sangat agresif.
“Disebabkan itu, rawatan perlu dilakukan dengan segera dan tidak boleh tunggu,” ujar beliau.
Doktor itu juga menjelaskan pada Zeeda tentang rawatan kemoterapi yang beliau perlu jalani serta kesannya.
Antaranya termasuklah mengalami keguguran rambut dan paling sukar untuk diterima iaitu bakal berdepan dengan kemandulan.
Memandangkan wanita tabah tersebut sudah memiliki cahaya mata lelaki dan perempuan, beliau akur dan menerima hakikat tersebut. Sementelah suami memberi sokongan kepadanya.
Sepanjang menjalani rawatan sejak tahun 2007, hinggalah selepas pembedahan membuang kaki, beliau tidak menangis lagi.
Dalam pada itu, SinarPlus turut berkesempatan mendapatkan pandangan pakar mengenai penyakit tersebut.
Menurut Pakar Perunding Ortopedik Onkologi di Beacon Hospital, Dr Choong Chee Leong, kanser tersebut boleh dikategorikan kepada dua jenis utama iaitu sarkoma dan karsinoma.
“Kita lebih kerap mendengar tentang karsinoma kerana 90 peratus daripada kes kanser terdiri daripada jenis ini.
“Sebaliknya, sarkoma ialah penyakit yang sangat jarang berlaku. Ia merupakan kanser yang terbentuk dalam sel-sel tulang, otot, dan juga lemak.
“Manakala karsinoma pula berkembang di dalam sel epitelium, iaitu sel yang melapisi permukaan organ seperti kulit, serviks, peparu dan organ dalaman lain,” ujarnya.
Justeru jenis rawatan untuk kedua-dua kanser berkenaan juga berbeza.
“Baru-baru ini, saya merawat seorang pesakit berusia 17 tahun. Kes ini masih segar dalam ingatan kerana pesakit dimasukkan ke hospital ketika sedang menghadapi peperiksaan.
“Sebab itu saya sangat menggalakkan rawatan awal selepas diagnosis dibuat kerana sarkoma boleh merebak ke paru-paru.
“Jika sudah merebak ke paru-paru, jangka hayat pesakit akan lebih pendek dan ada yang hanya beberapa bulan sahaja,” kongsi pakar itu lagi.
Pakar itu turut mengakui memang betul antara tanda utama penyakit itu ialah ketulan atau benjolan. Pun begitu, tidak semua ketulan bermaksud sseorang itu menghidap kanser.
Menurutnya lagi, ada ketulan yang bersifat 'jinak', seperti lipoma (ketulan lemak). Mutasi genetik baru boleh berlaku, tetapi ia tidak semestinya agresif atau merebak ke organ lain.
“Ada juga sarkoma yang membesar dengan sangat perlahan, manakala ada yang berkembang dengan sangat cepat.
“Contohnya, dalam tempoh tiga bulan sahaja, saiznya boleh berubah daripada sebesar bola ping pong kepada sebesar bola sepak.
“Oleh itu, jika terdapat sebarang ketulan yang mencurigakan, segera dapatkan pemeriksaan doktor dan jangan abaikan,” ungkap beliau.
Pengabaian juga kata beliau, boleh menyebabkan rawatan menjadi lebih sukar kerana sarkoma mungkin telah merebak ataupun sangat dekat dengan struktur-struktur penting seperti salur darah atau saraf.
"Ia boleh mengundang komplikasi yang lebih serius. Oleh itu, sesiapa yang mempunyai benjolan, jangan takut berjumpa doktor.
“Jika rawatan dimulakan awal, peluang untuk menyelamatkan anggota badan adalah lebih tinggi,” nasihatnya.
Justeru, jika anda atau orang terdekat mengalami gejala yang luar biasa atau tidak normal, jangan berlengah untuk mendapatkan nasihat doktor.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
