Bukan sekadar pasar! Mui Mahmeri 2025 satukan seni, jiwa & tradisi orang asli di Pulau Carey

Iklan

PULAU Carey sekali lagi bakal bernafas dalam warna-warni budaya dan seni masyarakat Orang Asli Mahmeri apabila Program Penyemarakkan Seni Budaya: Budaya@Komuniti ‘Pasar Mui Mahmeri 2025’ bakal berlangsung pada 25 dan 26 Oktober ini

Program yang membawa tema 'Rasa, Ritma dan Warna – Semarak Mahmeri 2025' yang bakal berlangsung di Pusat Kraf Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Kuala Langat, dijangka menjadi platform terbaik bagi memperkukuh nilai perpaduan serta kelestarian warisan budaya tempatan. 

Iklan
Iklan

Ia juga membuka ruang buat pengunjung mendekati keunikan seni dan cara hidup masyarakat Mahmeri yang semakin mendapat perhatian dunia.

Menurut Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor, Muhammad Hasmizan Ishak, inisiatif tersebut bukan sekadar acara budaya tahunan, tetapi usaha berterusan mengangkat identiti negeri melalui warisan yang hidup.

Iklan

“Program ini memperlihatkan kesatuan dalam kepelbagaian seni budaya etnik dan kaum di Selangor. Ia bukan sekadar sambutan, tetapi usaha memelihara dan memulihara warisan yang menjadi identiti negeri ini,” katanya ketika ditemui pada sesi promosi Budaya@Komuniti: Pasar Mui Mahmeri 2025 di Karangkraf, Shah Alam.

Iklan

MENGHIDUPKAN KOMUNITI

Dianjurkan bersama JKKN Selangor, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Persatuan Seni Ceritera, dan Pusat Kraf Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, program dua hari itu akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik, daripada persembahan tarian tradisional, pameran hasil kraf sehinggalah bengkel seni tempatan.

Bagi memeriahkan program tersebut, JKKN Selangor bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengendalikan penyertaan pengusaha dari 11 buah kampung Orang Asli di seluruh Selangor menerusi 20 reruai jualan, termasuk persembahan.

Antara pengisian menarik termasuklah Pasar Sehari Komuniti Mah Meri, Mah Meri fun run, bola jaring berkain batik, pertandingan Sewang Mui dan permainan Orang Asli, futsal Mah Meri, pertandingan mewarna serta persembahan kesenian dengan artis jemputan Amir Sisi dan Kumpulan Acazero.

Lebih istimewa, pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi penghasilan topeng dan patung kayu oleh pengukir terkenal masyarakat Mahmeri, Kemi Khamis, 54 tahun, antara nama yang telah lama menjadi nadi seni komuniti Pulau Carey.

Di sebalik keindahan seni topeng Mahmeri yang sering mencuri tumpuan pelancong, berdirilah insan seperti Kemi Khamis, yang telah lebih tiga dekad menumpahkan jiwa dalam setiap hasil ukirannya.

MEMELIHARA TRADISI

Di bengkel kayu kecilnya yang sederhana, bau nyatoh dan getah tua menjadi saksi ketelitian tangannya mengukir setiap ekspresi wajah, ada yang menggambarkan kasih, ada yang mencerminkan duka. 

Namun bagi Kemi, setiap satu ada 'roh' tersendiri.

“Bila kita ukir, kita kena tahu perasaan topeng tu. Kalau sekadar ukir tanpa jiwa, hasilnya kosong,” katanya tenang, sambil meneliti topeng separuh siap berbentuk wajah manusia dan haiwan.

Lelaki itu mula mengenal seni ini sejak usia remaja, belajar daripada pengukir lama yang menjadi guru dan inspirasi. 

Kini, Kemi menjadi antara pengukir paling disegani dalam komuniti Mahmeri, bukan sahaja kerana kemahirannya, tetapi juga kerana tekadnya memelihara tradisi agar tidak ditelan masa.

“Kalau tak dijaga, nanti hilanglah bahasa seni kami. Saya tak mahu seni ini mati dengan saya. Biarlah anak muda sambung,” ujarnya penuh harapan.

Seni dan budaya Mahmeri adalah cerminan hubungan manusia dengan alam dan spiritual. Topeng-topeng mereka bukan sekadar hasil kraf, tetapi lambang falsafah hidup yang mementingkan keseimbangan, kasih dan semangat komuniti.

Melalui program seperti Pasar Mui Mahmeri 2025, usaha untuk menghidupkan kembali seni dan ekonomi masyarakat Mahmeri bukan sekadar impian, ia kini diterjemahkan dalam bentuk nyata.

Pengunjung dijemput untuk merasai sendiri “rasa” tradisi melalui makanan dan kraf tempatan, menghayati “ritma” tarian dan nyanyian Mahmeri, serta menikmati “warna” kehidupan yang kaya nilai spiritual dan seni.

Untuk maklumat lanjut, layari Facebook rasmi JKKN di www.facebook.com/mysenibudaya

.