MEMBAWA produk Malaysia ke pentas antarabangsa bukan perjalanan mudah, apatah lagi jika ia membabitkan kategori baharu yang belum pernah wujud dalam pasaran.
Bagaimanapun, sokongan padu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta rangkaian ASEAN terbukti menjadi kunci utama kepada kejayaan usahawan tempatan menembusi pasaran luar.
Pengasas FG® Walet, Nor Fouziah Mohd Gous atau lebih dikenali sebagai Fouziah Gous berkata, lima tahun pertama membangunkan jenama itu penuh cabaran kerana minuman sarang burung belum diiktiraf dalam data rasmi negara ketika diperkenalkan pada 2008.
“Pada peringkat awal, saya sendiri terpaksa mendidik pengguna. Malah, pasar raya menolak untuk memasarkan produk kerana ia dikategorikan sebagai herba dan bukan minuman.
“Lima tahun pertama lebih banyak berdepan cabaran kesedaran pengguna berbanding soal jualan. Ketika itu fokus utama adalah bagaimana mahu memperkenalkan kategori minuman baharu ini kepada masyarakat,” katanya lagi.
Malah dia turut menjelaskan, langkah berani menyertai pelbagai program MITI menjadi titik perubahan penting dalam mengembangkan perniagaannya.
“Saya anggap MITI sebagai perpustakaan yang membantu memahami prosedur eksport dan peraturan di setiap negara. Dari situ, saya juga berpeluang berjumpa terus dengan pembeli luar serta mengetahui cita rasa pengguna yang berbeza-beza.
“Panduan ini sangat penting kerana kalau kita buat sendiri, banyak kesilapan akan berlaku dan kosnya mungkin berlipat kali ganda. Dengan adanya MITI, perjalanan saya jadi lebih teratur dan berfokus,” ujarnya.
Menembusi pasaran ASEAN
MITI giat membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia menembusi pasaran antarabangsa melalui misi perdagangan, program digitalisasi dan perluasan akses ke rangkaian perdagangan serantau.
Menteri Pelaburan,
Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz berkata, MITI komited memastikan PMKS Malaysia tidak hanya menjadi pemain domestik, tetapi juga berdaya saing di peringkat serantau dan global.
"Melalui kerjasama strategik, pengurangan halangan perdagangan, serta sokongan dalam pensijilan dan pendigitalan, kita mahu lebih banyak produk Malaysia berada di rak-rak antarabangsa dan dikenali sebagai simbol kualiti dan inovasi," ujarnya.
Selain itu, inisiatif Matrade seperti Geran Pembangunan Pasaran (Market Development Grant), iaitu geran sehingga RM300,000 untuk membantu PMKS mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka ke luar negara, menjadi pemangkin kepada syarikat untuk menembusi pasaran global.
MITI turut menyediakan saluran untuk syarikat tempatan menyertai ekspo antarabangsa
seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang membuka peluang pertama FG® Walet menembusi pasaran Vietnam.
“Dari MIHAS, saya berpeluang menghantar kontena pertama ke Vietnam walaupun tidak kekal lama kerana faktor pembeli. Namun ia menjadi asas untuk memahami pasaran luar.
“Pengalaman itu sangat berharga kerana hari ini kami lebih bersedia dari segi dokumentasi dan tahu cara berhubung terus dengan pembeli sebenar. Itu sesuatu yang tidak boleh diperoleh tanpa sokongan MITI,” ujar Fouziah.
Pelakon dan usahawan itu berkata, selain peluang pemasaran, MITI turut membantu mengurangkan beban kos syarikat yang mahu meluaskan operasi ke luar negara.
“Bayangkan, untuk ‘set up’ gudang di Indonesia, sewa perlu dibayar terus dua tahun dan ia melibatkan kos besar. Bantuan MITI mengurangkan sebahagian beban ini.
“Walaupun tidak menampung sepenuhnya, ia cukup melegakan kerana membolehkan kami menyusun strategi dengan lebih baik. Langkah ini mempercepatkan kemasukan produk kami ke pasaran Indonesia,” jelasnya.
Menurutnya lagi, FG® Walet kini sudah menembusi beberapa pasaran ASEAN termasuk Brunei, Singapura, Indonesia dan Kemboja hasil laluan yang dibuka MITI.
“Bila sertai program di bawah MITI, kita bukan sekadar menjual produk tetapi juga bertemu pembekal, pembeli dan rakan strategik lain. Daripada situ rangkaian lebih luas dapat dibina.
“Daripada rangkaian itu, kami mendapat idea baharu dan peluang untuk meluaskan lagi skala perniagaan. Semua ini bermula daripada langkah kecil bersama MITI,” katanya.