BUKAN mudah hidup berjauhan dengan pasangan, apatah lagi bila sudah berumah tangga dan punya anak.
Namun bagi pendakwah bebas dan pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi, semua itu bukan alasan untuk berhenti mengejar ilmu dan masa depan anak-anak.
Keputusan berpindah ke Mesir baru-baru ini bukan dibuat dalam sehari. Ia datang dengan doa, pertimbangan dan tentu sekali, pengorbanan besar.
“Sudah semestinya dalam menuntut ilmu ada perkara yang perlu kita korbankan,” ujar Oki memetik OhBulan.
Walau kini menetap di Mesir bersama anak-anak, wanita tinggi lampai itu tidak sendirian. Suaminya, Ory Vitrio, tetap memainkan peranan penting walaupun terpaksa berulang-alik antara Indonesia dan Mesir setiap bulan.
“Alhamdulillah, saya dan suami baik-baik saja. Suami saya masih ada komitmen kerja di Indonesia, tapi beliau akan datang sebulan sekali ke Mesir.
"Bukan bererti kami tidak bertemu, cuma jadualnya berbeza,” jelasnya dengan senyuman.
Oki mengakui, hubungan jarak jauh bukan sesuatu yang mudah, namun mereka belajar menyesuaikan diri.
Bagi pasangan ini, komunikasi dan kepercayaan adalah kunci utama untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga meskipun dipisahkan ribuan kilometer.
MASA DEPAN ANAK
Langkah berhijrah ke bumi para anbiya itu bukan sekadar untuk dirinya, tetapi demi masa depan empat anak mereka, Aryam Nusaibah Abdullah (11), Khadeejah Faatimah Abdullah (9), Ibrahim Muhammad Abdullah (8) dan Sulaiman Ali Abdullah (5).
“Kami melakukan ini demi pendidikan anak-anak. Suasana di Mesir sangat kuat dengan Islam dan al-Quran.
"Saya mahu anak-anak membesar dalam persekitaran yang mendidik jiwa sebelum mereka dewasa nanti,” katanya penuh makna.
Kakak kepada Ria Ricis itu juga mengakui, Mesir bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi juga ruang untuk membentuk karakter anak-anak agar lebih mencintai agama, menghargai ilmu dan memahami erti perjuangan hidup.
Meski kini menetap di luar negara, Oki tetap aktif memenuhi undangan program keagamaan.
Kehadirannya di Malaysia bagi program Cahaya Hati 1.0 anjuran One World Muslimah (OWM) dengan MINAZ sebagai penaja utama, membuktikan dirinya masih komited menyebarkan ilmu kepada masyarakat.
Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran dua figura inspirasi wanita, Heliza dan Hazwani Helmi, yang turut berkongsi pengalaman dan semangat dakwah mereka.
Dalam setiap keputusan besar, pasti ada harga yang perlu dibayar. Bagi Oki, berpindah ke Mesir mungkin menguji jarak dan rindu, namun beliau percaya setiap langkah menuju ilmu akan diberkati.
“Kalau niat kita kerana ALLAH, insya-ALLAH semuanya akan dipermudahkan,” ujarnya lagi.