DALAM setiap ujian yang datang, ALLAH hadirkan dalam bentuk paling indah. Itulah yang dirasai oleh Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim, 40, apabila isterinya, Sabrina Hakiem Zaini, 40, selamat melahirkan tiga cahaya mata kembar secara pembedahan pada pukul 9.40 pagi, Jumaat lalu.
Menurut Mohd Fikry, kelahiran tiga permata hati Maryam Al Lubna, Maryam Al Khawla dan Maryam Al Arwaa bukan sahaja membawa sinar baharu buat keluarganya, tetapi juga mengubat sedikit kerinduan terhadap anak sulung mereka, Allahyarham Muhammad Al-Fateh Amri yang telah kembali ke rahmatullah September 2024.
"Perasaan saya sangat gembira dan juga bersyukur sebenarnya. Saya ucapkan terima kasih juga kepada Tengku Ampuan Puan Pahang kerana perkenan untuk menaja kami.
"Dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengenali saya, rakyat Malaysia, khususnya yang banyak mendoakan untuk keselamatan dan kesedaran kamilah untuk meneruskan hari-hari mendatang dengan ujian yang cukup berat.
"Alhamdulillah, ALLAH Maha Mengetahui. DIA akan uji hamba-hamba-NYA mengikut kemampuan hamba-hamba sendiri," titipnya.
Dalam pada itu, Mohd Fikry juga memaklumkan isterinya, Sabrina Hakiem Zaini akan bercuti dua tahun untuk memberi tumpuan kepada cahaya mata.
"Saya berbincang juga dengan isteri, mungkin akan ambil cuti tanpa gaji selama dua tahun.
"Dalam tempoh dua tahun itu, kalau kata masih lagi dia tak puas untuk menjaga anak, mungkin lepas itu akan berhenti kerja," kongsinya.
Artikel berkaitan:
- Genap 7 hari pemergian, ibu Al Fateh kongsi kronologi hari kejadian. 'Anak mummy kuat hingga ke penghujung nyawa...'
- 14 tahun PJJ akhirnya sebumbung, bapa Al Fateh pindah ke Melaka. 'Boleh mommy daddy lawat kubur tiap hari'
- 'Al Fateh tunggu mommy dekat syurga ya...' Luahan pilu ibu hilang bayi bikin sebak, pengasuh mengaku salah!
- Bapa bayi maut di taska luah rindu, tuntut bela kematian. 'Pemergianmu bukan kehilangan, asbab kami jadi lebih baik'
Dalam masa yang sama, Fikry menzahirkan kerinduannya kepada anak sulung terubat dengan kehadiran tiga anak kembar perempuan apabila ketiga-tiganya memiliki iras yang sangat mirip dengan arwah.
"Saya tengok memang macam muka arwah Al Fateh dan tubuh mereka memanjang. Terubat rindu itu ada tapi masih tidak boleh gantikan arwah al-Fateh. Cuma boleh mengurangkan rasa kesedihan, sebab arwah Al-Fateh inilah anak sulung kami.
"Sebenarnya saya tak gunakan istilah menggantikan, sebenarnya ALLAH memberi ganjaran yang berganda," kongsinya.
Mohd Fikry menerusi hantaran di Instagram berkongsi ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepada mereka selama ini.
"Saya dan isteri memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat ALLAH serta mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang memberikan ucapan tahniah serta memanjatkan doa untuk kesejahteraan kami sekeluarga.
"Semoga dengan kelahiran puteri-puteri kami ini dapat mengembalikan keceriaan dan kebahagian yang pernah dikecapi bersama arwah Al Fateh.
"Menjunjung kasih Tuanku atas kurniaan dan tidak putus memberi kata-kata semangat. Tidak diilupakan juga kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sentiasa menjaga kebajikan dan memberi sokongan moral di saat kami dalam kedukaan menghadapi ujian yang amat berat.
"Insya-ALLAH selepas ini kami akan lebih bersemangat untuk menabur bakti pada agama, bangsa dan negara.
"Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana memberikan perkhidmatan yang terbaik demi memastikan isteri saya selamat melahirkan puteri-puteri kami. Semoga ALLAHSWT membalasnya dengan ganjaran pahala berganda. Aminn ya rabbal alaminn.
"Terima kasih ALLAH, terima kasih semua, terima kasih Malaysia. #justiceforalfateh," titipnya.
Terdahulu, SinarPlus berkongsi pemergian tragis Al Fateh yang menyentuh hati ramai.
Si kecil yang dinantikan selama 13 tahun itu dipercayai diperlakukan dengan kejam oleh pengasuhnya, apabila mulutnya disumbat dengan botol susu dan muka ditekap dengan bantal sehingga mengakibatkan kematian.