Bapa bayi maut di taska luah rindu, tuntut bela kematian. 'Pemergianmu bukan kehilangan, asbab kami jadi lebih baik'

No Image Caption
A
A
A

'DADDY mummy rindukan gelak tawa Muhammad Al Fateh Amri.'

Demikian luah bapa, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, yang kehilangan anak tunggal, Allahyarham Muhammad Al Fateh Fikry Amri dipercayai dibunuh oleh pengasuh di taska.

Berkongsi hantaran sayu di Facebook, Mohd Fikry turut memuat naik beberapa video memaparkan aksi anak kesayangannya yang ditunggu-tunggu kelahirannya selama 13 tahun.

"Tunggu kami di pintu syurga nanti anakku. Di akhirat nanti boleh bawa daddy mummy masuk syurga sama-sama.

"Al Fateh bermainlah dulu dengan anak-anak syurga yang lain. ALLAH pinjamkan Al Fateh kepada kami untuk lapan bulan. Kami sangat bersyukur.

"Pemergianmu bukan satu kehilangan tapi menjadi asbab untuk kami jadi lebih baik. Al Fatihah," titipnya.

Mohd Fikry memaklumkan pihaknya mengambil tindakan undang-undang dan dalam masa yang sama mahu pemergian Muhammad Al Fateh menerima pembelaan dan keadilan sewajarnya.

"Saya dan isteri akan menuntut bela di atas kematian anak syurga kami. Bukan hanya pengasuh tetapi pengusaha taska juga perlu bertanggungjawab dan tidak terlepas dari tindakan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Mohon perkenan Yang Dipertuan Agong, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Kehakiman Negara (JKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memandang serius perkara ini agar hukuman maksimum dikenakan ke atas pengasuh dan pengusaha taska tersebut.

"Saya akan ambil tindakan undang - undang yang maksimum supaya menjadi pengajaran dan iktibar kepada pengasuh dan pengusaha taska yang lain agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan," kongsinya.

No Image Caption

Mohd Fikry dalam masa berharap tragedi yang sama tidak menimpa anak kecil lain pada masa akan datang.

"Saya tidak mahu ada lagi anak-anak taska yang menjadi mangsa korban seterusnya. Pihak berwajib sila jalankan amanah dan tanggungjawab.

"Pangkat dan jawatan diberi adalah untuk berkhidmat kepada rakyat. Nanti di akhirat kelak, kita semua akan dihisab di hadapan ALLAH.

"Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyokong dan prihatin. Mohon doakan saya dan isteri terus kuat bagi meneruskan kehidupan dan perjuangan menuntut bela ini. Sama-sama kita bantu satu sama lain," kongsinya.

Terdahulu, Mohd Fikry, 39, dan isteri, Sabrina Hakiem Zaini, 39, kehilangan bayi yang baharu lima hari dihantar di sebuah taska di Kelemak, Melaka.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup, Allahyarham Muhammad Al Fateh dipercayai diperlakukan kejam oleh pengasuh yang menyumbat botol susu dan menekup muka bayi dengan bantal hingga mengakibatkan kematian.

Malah, suspek berusia 34 tahun itu dikatakan bermasalah dan mempunyai kes lampau.

Suspek yang merupakan ibu kepada tiga anak yang itu baru sehari menjaga Muhammad Al Fateh. Terdahulu, bayi berkenaan dan dijaga pengasuh lain.

Suspek yang berasal dari Endau, Johor ditahan. Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang