Pasangan 'kehilangan' anak di taska timang kembar tiga. 'Al Fateh pasti tersenyum di taman syurga'
PASTI ramai masih mengingati tragedi yang meruntun jiwa, melibatkan bayi kecil Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri yang menjadi mangsa penganiayaan di sebuah taska di Alor Gajah, Melaka pada September 2024.
Setahun berlalu, luka di hati kedua ibu bapanya mungkin belum sepenuhnya sembuh, namun takdir ALLAH itu indah. Kini pasangan tabah ini kembali tersenyum apabila dikurniakan kembar tiga, Maryam Al Lubna, Maryam Al Khawla dan Maryam Al Arwaa.
Bapa, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim menerusi hantaran di Facebook berkongsi khabar gembira bahawa isterinya, dan Sabrina Hakiem Zaini selamat melahirkan tiga puteri comel mereka.

Dimaklumkan, kelahiran si kecil itu adalah hasil rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) Tunku Azizah Fertility Foundation (TAFF).
"Alhamdulillah syukur ke hadrat ALLAH SWT. Patik berdua menjunjung kasih Tuanku diatas kurniaan tajaan IVF dan sokongan moral. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada semua yang telah mendoakan untuk kesejahteraan kami.
"Sukacita saya ingin memaklumkan isteri saya telah selamat melahirkan anak kembar tiga (triplet perempuan) secara pembedahan Caesarean tepat 9.40 pagi pada 24 Okt 2025, hari Jumaat yang mulia di Hospital Melaka. Isteri dan anak-anak saya semuanya dalam keadaan baik dan sihat. Alhamdulillah," titipnya di Facebook.

Artikel berkaitan
- 'Al Fateh tunggu mommy dekat syurga ya...' Luahan pilu ibu hilang bayi bikin sebak, pengasuh mengaku salah!
- Bapa bayi maut di taska luah rindu, tuntut bela kematian. 'Pemergianmu bukan kehilangan, asbab kami jadi lebih baik'
- Genap 7 hari pemergian, ibu Al Fateh kongsi kronologi hari kejadian. 'Anak mummy kuat hingga ke penghujung nyawa...'
- Sedihnya! Disumbat botol susu, tekup muka dengan bantal, anak ditunggu 13 tahun pergi selepas 5 hari dihantar ke taska
Dalam pada itu, Mohd Fikri menzahirkan penghargaan atas keprihatinan doktor dan jururawat yang berkorban serta menjaga isterinya selama hampir tiga bulan sehingga selamat bersalin.
"Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih kepada semua doktor, jururawat dan staf Hospital Melaka yang telah melaksanakan tugas dan amanah selama 73 hari isteri saya berada di dalam wad untuk pemantauan hospital sehingga tiba saat untuk isteri saya melahirkan anak-anak kami.

"Semoga ALLAH SWT membalas jasa kalian dengan pahala berganda dan dijadikan asbab untuk kita semua masuk syurga tanpa hisab," kongsinya.
Dalam pada itu, beliau tidak lupa untuk menzahirkan kerinduan buat Allahyarham Muhammad Al Fateh dan percaya setiap ujian ALLAH datang bersama hikmah.
"Al Fateh pasti tersenyum di taman syurga tengok mummy daddy dia sekarang ni. Rindu pada Al Fateh. Hari jumaat Al Fateh dijemput menghadap pencipta-NYA, Jumaat juga ALLAH hadirkan puteri-puteri adik Al Fateh kepada kami.
"Perancangan ALLAH adalah yang terbaik. Syukur dengan nikmat-NYA. Rezeki berganda datang pelbagai cara. Jangan pernah jemu memohon pertolongan kepada ALLAH SWT. #justiceforalfateh," tulisnya.
Terdahulu, SinarPlus berkongsi pemergian tragis Al Fateh yang menyentuh hati ramai.
Si kecil yang dinantikan selama 13 tahun itu diperlakukan kejam oleh pengasuh yang menyumbat botol susu dan menekup muka bayi dengan bantal hingga mengakibatkan kematian.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
