KANAK-kanak yang mengalami kecederaan parah susulan dikelar pada bahagian leher di Batu Pahat berkemungkinan berkaitan dengan permainan atas talian (online game) popular.
Memetik Harian Metro, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mangsa di Kampung Parit Nipah Laut, Parit Raja, ditemukan dengan kesan kelar di leher dan luka tikaman pada badan.
Kedua ibu bapa kanak-kanak berkenaan kini ditahan bagi membantu siasatan.
"Berdasarkan siasatan awal kita dapati kecederaan yang dialami oleh kanak-kanak itu berkemungkinan dilakukan oleh abangnya yang berusia sembilan tahun.
"Bagaimanapun motif kejadian masih lagi dalam siasatan. Tetapi ianya ada berkemungkinan ada kaitan di mana abang mangsa mempunyai satu aplikasi permainan di dalam telefon pintarnya," katanya.
Siasatan awal yang dijalankan mendapati si abang bermain permainan berkenaan secara berlebihan dan berjaya mengumpul kira-kira satu juta 'mata' dalam permainan itu.
Katanya, dipercayai mangsa telah merosakkan telefon abangnya dan 'mata' yang dikumpulkan itu hilang.
"Hasil soal siasat yang dibuat terhadap abang mangsa, mungkin ada kesan daripada game, dia mengalami macam halusinasi waktu malam dan seolah-olah disuruh untuk mencederakan ahli keluarganya.
"Dipercayai abang mangsa mengambil sebilah pisau yang ada dalam rumah itu dan mencederakan adiknya sendiri tetapi apa-apa pun dalam hal ini kita masih menjalankan siasatan lanjut," katanya.
Mangsa tersebut kini sedang menerima rawatan di Hospital Batu Pahat dan berada dalam keadaan stabil.
Jelas Ab Rahaman, siasatan masih di peringkat awal dan pihaknya belum dapat merakamkan kenyataan mangsa kerana si kecil itu masih belum pulih sepenuhnya.
"Mangsa dan abangnya kini berada di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebab mereka di bawah umur.
"Polis telah merujuk kertas siasatan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Johor untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Kedua ibu bapa kanak-kanak itu berusia 41 direman bermula hari ini sehingga esok. Ia bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lebih lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber: Harian Metro