SETIAP kali tibanya musim haji, ribuan umat Islam mula membuat persiapan untuk menyempurnakan rukun Islam kelima itu.
Perjalanan ke Tanah Suci bukan sekadar pengembaraan jasmani, tetapi perjalanan rohani yang penuh makna dan keinsafan.
Dalam memenuhi tuntutan suci ini, agensi pengurusan haji memainkan peranan besar dalam memastikan jemaah dapat beribadah dengan tenang dan selamat.
Antara yang kekal kukuh menabur khidmat dalam bidang ini ialah Juara Travel & Tours Sdn Bhd.
Tahun 2026 menjadi satu lagi lembaran penting apabila syarikat itu sekali lagi dilantik secara rasmi oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen bagi musim Haji 1447H/2026M.
Menurut Pengarah Urusan, Rosnah Wagino, pelantikan itu bukan sekadar tanda kepercayaan, tetapi juga satu amanah yang besar.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa berusaha mempertingkat mutu perkhidmatan agar para jemaah dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah tanpa perlu risau tentang urusan perjalanan.
“Setiap tahun kami menilai semula keperluan jemaah dan memperkemas aspek pengurusan agar perjalanan mereka benar-benar lancar.
"Bagi kami, haji bukan hanya tentang destinasi, tetapi tentang ketenangan hati dan kesempurnaan pengalaman spiritual,” katanya.
Juara Travel mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam industri haji dan umrah. Sejak 2018, agensi ini telah menguruskan lebih 1,200 jemaah haji serta lebih 148,000 jemaah umrah.
Namun bagi pasukan di sebalik nama itu, apa yang paling utama bukanlah angka, tetapi bagaimana setiap jemaah pulang dengan hati yang lapang dan pengalaman yang indah.
Bagi musim akan datang, persiapan rapi sedang dilakukan termasuk pemilihan hotel berhampiran Masjid al-Haram, penyediaan makanan tiga kali sehari, serta kemudahan tren laju antara Madinah dan Mekah.
JEMAAH ADALAH AMANAH
Malah, semua butiran itu diatur dengan penuh perhatian agar jemaah dapat melalui perjalanan ibadah tanpa tekanan.
Rosnah turut menambah, aspek keselamatan dan keselesaan jemaah sentiasa menjadi keutamaan.
Setiap pakej yang disediakan dirancang berdasarkan kemampuan dan keperluan berbeza, dengan penekanan terhadap kebajikan dan keselesaan.
“Kami mahu setiap jemaah merasa tenang sejak dari tanah air hingga selesai ibadah di Tanah Suci,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Haji & Tanah Suci, Muhammad Al-Makki pula menjelaskan, kekuatan agensi tersebut terletak pada pasukan petugas berpengalaman yang memahami selok-belok urusan haji.
Katanya, setiap petugas bukan sekadar bekerja tetapi berkhidmat, memastikan jemaah sentiasa dibimbing sepanjang perjalanan.
“Dari lapangan terbang hingga ke Arafah, kami mahu mereka merasa ada keluarga yang menjaga. Bagi kami, setiap jemaah adalah amanah,” katanya lagi.
Dalam pada itu Rosnah pula menasihatkan bakal jemaah supaya berhati-hati ketika memilih agensi pengelola haji.
Katanya, penting untuk memastikan agensi yang dipilih tersenarai dan diiktiraf oleh Tabung Haji bagi mengelak menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.
“Semak status lesen dan kemampuan agensi sebelum membuat bayaran. Ini penting supaya perjalanan ibadah tidak bertukar menjadi kesulitan,” pesannya.