Tragis! Pergaduhan abang ipar, adik ipar berakhir ngeri, kepala bercerai daripada badan. 'Polis rayu 15 minit sebelum...'

Iklan
Foto: Ihsan Penang Kini

PERTELINGKAHAN dipercayai antara abang ipar dan adik ipar bertukar menjadi mimpi ngeri apabila seorang daripada mereka menemui ajal dalam keadaan mengerikan. 

Insiden yang berlaku di Kampung Pida 3, Jerlun itu menyaksikan usaha polis memujuk suspek berusia 38 tahu selama 15 minit sebelum lelaki itu menyerah diri.

Iklan
Iklan

Lapor Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim memaklumkan, pihaknya menerima panggilan tentang pergaduhan antara dua lelaki daripada orang awam sekitar jam 7.05 malam.

“Apabila polis tiba di lokasi, suspek berada di dalam bilik di rumahnya bersama sebilah parang.

Iklan

Foto: Sinar Harian

"Ketika ditahan, suspek masih memegang parang sebelum akhirnya menyerah diri selepas kira-kira 15 minit dipujuk,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di tempat kejadian.

Iklan

Terdahulu, situasi tegang sekelip mata berubah menjadi tragedi berdarah yang menggemparkan penduduk setempat. Menurut Mohd Radzi, hasil pemeriksaan mendapati mayat mangsa berusia 45 tahun ditemui dalam keadaan terlentang di dalam sawah padi, berhampiran rumah suspek.

“Kepala mangsa didapati terputus daripada badan dan terdapat beberapa kesan tetakan lain pada tubuh mangsa,” ujarnya.

Foto: Sinar Harian

Susulan itu, senjata tajam berupa parang berukuran kira-kira 30 sentimeter digunakan dirampas.

Suspek ditahan pada jam 8 malam selepas pihak polis berjaya memujuknya untuk menyerah diri.

"Siasatan awal mendapati suspek berusia 38 tahun dan mangsa merupakan abang ipar kepada suspek. 

"Kedua-duanya bekerja sebagai petani sawah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Jarak antara rumah suspek dan lokasi mayat dijumpai adalah kira-kira 30 meter,” ujar beliau.

Tambah Mohd Radzi, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis belum dapat mengenal pasti punca pergaduhan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Foto: Sinar Harian

Katanya, ujian urin terhadap suspek juga masih belum dijalankan.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat, manakala suspek akan direman di Mahkamah Alor Setar pada Sabtu.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat atau spekulasi tidak sahih berkaitan kejadian ini sehingga siasatan selesai,” katanya lagi.

Lebih menyayat hati, pemergian mangsa meninggalkan seorang balu dan dua cahaya mata.

Sumber: Sinar Harian