PERTEMUAN singkat yang bermula secara kebetulan akhirnya membawa kepada ikatan pertunangan Tun Laila dengan lelaki pilihannya, Amir Haiqal.
Pempengaruh media sosial yang juga peguam muda itu diraikan dalam sebuah majlis yang berlangsung dalam suasana sederhana namun eksklusif itu dihadiri keluarga terdekat kedua-dua pihak.
Selain busana yang digayakan mencuri tumpuan warganet, terbaharu coretan penuh emosi dikongsikan Tun Laila di Instagram miliknya yang ditujukan khas buat tunang tercinta meraih perhatian ramai.
Dalam tulisannya, wanita tersebut berkongsi perjalanan cinta yang bermula tanpa dirancang, namun berakhir dengan sebuah janji yang sah di sisi agama dan penuh kasih.
“10 Mei 2025. Buat lelaki yang saya temui tanpa diduga, yang berjaya meraih rasa hormat saya; bakal suami saya, tunang saya,” tulisnya membuka bicara.
Menurut Tun Laila, perkenalan mereka bermula kira-kira setahun lalu dan selepas hanya dua kali bertemu, Amir Haiqal dengan beraninya melangkah menemui ayah serta abang-abangnya untuk menyatakan hasrat yang tulus.
"Dari situ saya tahu, awak bukan datang untuk suka-suka,” katanya penuh makna buat bakal imamnya.
ALLAH PILIH
Bagi Tun Laila, perjalanan menuju hari bahagia bukan sekadar tentang persiapan majlis, tetapi pengalaman yang mengajarnya tentang keindahan perancangan Ilahi.
"Tidak pernah saya sangka, daripada jutaan manusia di dunia ini, awaklah orang yang ALLAH pilih untuk saya,” luahnya dalam nada syukur.
Lebih menarik, beliau turut berkongsi nama Amir Haiqal sebenarnya sudah dikenali sejak zaman universiti, namun jodoh mereka hanya benar-benar bersatu selepas beberapa tahun berlalu.
'Kini, kita hanya tinggal beberapa hari saja lagi sebelum saya boleh panggil awak suami,” tulisnya menyentuh hati ramai.
Pemilik nama sebenar, Tun Laila Tun Rafaee turut menyifatkan bakal imamnya itu sebagai doa yang termakbul, seorang lelaki yang hadir membawa ketenangan dan kebahagiaan dalam hidupnya.
"Selamanya bersama awak dari terbitnya matahari hingga ke tenggelamnya, dan di setiap detik di antaranya,” katanya menutup nukilan tersebut dengan penuh kasih.
Majlis pertunangan pasangan ini turut dihujani ucapan tahniah dan doa daripada rakan selebriti, rakan sepeguam serta para pengikut media sosial yang rata-rata berharap agar hubungan mereka berkekalan hingga ke alam perkahwinan.
Terdahulu, berita pertunangan pasangan tersebut menjadi perhatian selepas pereka fesyen terkenal tanah air, Shanell Harun berkongsi beberapa foto di media sosial memaparkan Tun Laila mengenakan busana hasil rekaannya.
Dalam foto berkenaan, wanita berusia 27 tahun itu kelihatan begitu anggun mengenakan baju kurung moden berona merah jambu lembut, manakala tunangnya tampil segak dengan persalinan baju Melayu lengkap bersampin dan bersongkok.