SUDAH hampir sembilan tahun berlalu, namun kehilangan aktivis kebajikan Amri Che Mat masih menjadi misteri terbesar negara.
Nama beliau kembali menjadi sebutan minggu ini apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membayar lebih RM3 juta kepada isterinya, Noorhayati Mohd Ariffin, sebagai ganti rugi.
Keputusan itu bukan sekadar angka, malah ia membuka semula kisah lama dan persoalan besar yang masih belum terjawab, ke mana hilangnya pengasas bersama Persatuan Kebajikan Perlis Hope itu?
Berikut adalah kronologi kehilangan yang sehingga kini tidak terungkai:
1-Pada 24 November 2016, Amri meninggalkan rumahnya di Kangar dengan memandu Toyota Fortuner berwarna perak sekitar jam 10.30 malam.
2-Noorhayati merupakan individu terakhir yang melihat beliau.
4-Saksi kemudian mendakwa melihat beberapa kenderaan pacuan empat roda mengepung Fortuner dipandu Amri malam sebelumnya, namun hingga kini identiti mereka masih menjadi misteri.
5- Kes Amri pada awalnya diklasifikasikan sebagai orang hilang kerana tiada bukti kukuh menunjukkan berlakunya jenayah.
6-Bagaimanapun, pada tahun berikutnya, seorang anggota polis dari Cawangan Khas (SB) didakwa memberitahu Noorhayati, suaminya mungkin dipantau pihak tertentu kerana dikaitkan dengan ajaran Syiah, sesuatu yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh keluarga.
7-Sejak itu, keluarga Amri berdepan pelbagai tekanan dan terus menuntut jawapan yang jelas daripada pihak berkuasa.
8-Pada 3 April 2019, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) melalui inkuiri awam yang dijalankan sejak Oktober 2017, merumuskan bahawa pihak Cawangan Khas Bukit Aman bertanggungjawab terhadap kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat.
9-Pesuruhjaya Suhakam, Mah Weng Kwai berkata, berdasarkan perbincangan panjang terhadap kedua-dua kes, panel mendapati bahawa individu atau kumpulan yang beroperasi dengan sokongan ejen kerajaan terbabit dalam penculikan itu.
10-Kata Mah Weng Kwai, panel berpendapat kehilangan paksa Amri dilakukan oleh ejen kerajaan manakala kehilangan Pastor Koh juga bukan kes kehilangan sukarela yang melibatkan undang-undang jenayah biasa.
11-Ujarnya ketika membacakan laporan siasatan, bukti arahan dan keadaan dalam kes Pastor Koh menunjukkan beliau diculik oleh Cawangan Khas Bukit Aman.
12-Pada 9 Mei 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan mendedahkan secara terhad Laporan Pasukan Petugas Khas berhubung kehilangan Amri.
13-Manakala 5 November 2025, mahkamah sama memerintahkan Kerajaan Malaysia dan PDRM membayar ganti rugi melebihi RM3 juta kepada Noorhayati atas kehilangan suaminya sembilan tahun lalu.
14-Perintah tersebut meliputi ganti rugi am dan teruk sebanyak RM2 juta, ganti rugi teladan RM1 juta, serta ganti rugi khas RM14,457.52, selain kos RM250,000.
15-Hakim Datuk Su Tiang Joo memutuskan demikian selepas mendapati kerajaan dan pihak polis bertanggungjawab terhadap kehilangan Amri.
16-Beliau turut memerintahkan pihak polis membuka semula siasatan berhubung kehilangan tersebut dan melaporkan perkembangan kes kepada Peguam Negara setiap dua bulan.
17-Sementara itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 6 November menyatakan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
Sumber: Sinar Harian