Dari bayi terbuang kini bergelar pempengaruh, Harszan imbau detik ditemui orang awam – 'Tiada siapa tuntut saya di hospital'

Iklan

PASTI ramai mengenali Harszan seorang wanita yang memiliki suara garau sehingga ramai yang menyangka dirinya adalah seorang lelaki.

Pemilik nama sebenar, Nurnazrah Abd Samat itu bagaimana pun tidak berkecil hati, bahkan sikapnya sentiasa selamba, kelakar dan sentiasa menceriakan hari pengikutnya.

Iklan
Iklan

Namun, di sebalik persona yang terlihat ringan itu, tersembunyi satu kisah hidup yang tidak pernah terlintas di fikiran sesiapa, kisah yang bermula bukan dengan pelukan seorang ibu, tetapi dengan sunyi dan ketentuan takdir yang cukup menguji.

Dalam perkongsian jujur di AI Team Podcast, Harszan membuka lembaran hidup yang selama ini tidak diketahui ramai.

Iklan

Dia mendedahkan bahawa dirinya merupakan bayi terbuang yang ditemui di sebuah kawasan perumahan dalam keadaan menyentuh hati sebelum dibawa ke hospital.

“Orang jumpa saya di satu tempat, kemudian saya dibawa ke hospital. Tetapi tiada sesiapa pun datang menuntut saya,” katanya saat mengimbau saat awal hidup yang penuh tanda tanya.

Iklan

Lebih meruntun jiwa, ketika ditemui orang awam, tubuh kecilnya dipenuhi darah kering, petanda bahawa dia mungkin telah terbiar sehari dua tanpa sesiapa melindungi.

TIADA WARIS

Disebabkan tiada waris tampil menuntutnya, wanita itu diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Di pusat jagaan itulah dia membesar sehingga usia dua tahun sebelum diambil sebagai anak angkat oleh sepasang suami isteri yang akhirnya menjadi keluarga pertamanya.

Namun, cabaran sebenar muncul seiring usianya yang meningkat. Statusnya sebagai bayi tidak berdaftar menjadikan proses mendapatkan kewarganegaraan Malaysia satu perjuangan panjang.

“Saya tiada IC sebab masa saya dibuang, tiada siapa daftar kelahiran saya di JPN. Sijil lahir pun tak ada,” jelasnya.

Dari umur 12 hingga 21 tahun,tempuh itu dilalui dengan penuh sabar, biarpun pelbagai kesukaran terpaksa diharungi.

"Tanpa dokumen rasmi, banyak pintu tertutup. Bayangkan, dalam tempoh sembilan tahun itu, saya tidak boleh menaiki kapal terbang, membuka akaun bank, malah permohonan kerja juga sering disisihkan.

“Malah, saya pernah kena halau masa nak cari kerja. Mereka cakap saya bukan orang Malaysia.

"Ada juga yang tawarkan gaji RM500 sahaja sebab saya tak ada IC. Semua bayaran diterima pun dalam bentuk tunai,” ceritanya.

Walau jalan hidupnya dipenuhi dugaan sejak hari pertama, Harszan memilih untuk membina hidup dengan cara yang paling berani, menjadikan kisah sendiri sebagai kekuatan.

Di sebalik tawa dan kontennya yang menghiburkan hari ini, berdiri seorang wanita yang bangkit daripada gelap masa lalu untuk menjadi inspirasi kepada ribuan orang.