PROSIDING inkues kematian Zara Qairina Mahathir, 13, menyaksikan saksi ke-40 mendakwa kata-kata suspek iaitu kakaknya hanya gertakan dan tidak menyentuh mana-mana pelajar junior dalam satu kejadian di sebuah bilik asrama pada April lalu.
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini mendengar saksi yang juga kanak-kanak ke-31, tujuan Zara Qairina datang bertemu dia dan rakannya adalah untuk meminta maaf mengenai surat mengandungi kata-kata 'body shaming' terhadap rakannya itu.
"Kata-kata ini merupakan 'Sok-sok orku' yang bermaksud menyindir seseorang yang ’perasaan kuat’. Saksi berkata, semasa Zara minta maaf, dia tidak tahu sama ada Zara yang menulis surat tersebut.
"Tetapi saksi pasti ada juga seorang pelajar junior lain terlibat menulis surat tersebut. Ketika kejadian, saksi juga melihat pelajar senior Tingkatan Empat melewati dorm tersebut dan bertanya kepada saksi apa yang berlaku.
"Saksi menerangkan tentang surat tersebut dan tujuan Zara meminta maaf.
"Selepas itu, seorang pelajar senior menjerit memanggil pelajar junior lain yang dikaitkan dengan surat tersebut. Saksi nampak pelajar senior Tingkatan Empat menasihati Zara dan pelajar junior tersebut agar tidak mengulangi perbuatan itu," katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu di sini pada Jumaat.
Pelajar Tingkatan Dua itu turut berkata, tidak lama kemudian, kakaknya iaitu seorang pelajar senior Tingkatan Empat lalu di kawasan itu dan bertanya tentang kejadian itu.
"Saksi berkata ayat tersebut cuma gertakan dan kakak saksi tidak ada menyentuh mana-mana pelajar junior. Menurut saksi, maksud 'touch touch' ini adalah seperti 'dia macam akan pukul orang itu'," katanya.
Mohd Syarulniezam berkata lagi, saksi memberitahu bahawa dia tahu Zara Qairina ada menulis surat mengenainya dari rakan pelajar senior Tingkatan Dua lain.
"Saksi kata dia ada jumpa surat itu tetapi tidak ingat apa isi kandungan surat tersebut. Saksi berkata, pada malam itu, keadaan pelajar senior itu 'okay saja' dengan Zara, dan mereka tegur Zara secara baik.
"Tetapi saksi juga bersetuju pada masa itu ada seramai sembilan pelajar senior Tingkatan Dua dan Empat dalam bilik yang sama bersama Zara dan seorang pelajar junior tersebut. Saksi berkata, dia tidak pernah dengar Zara ada menyindir saksi.
"Dia juga tidak tahu mengenai tuduhan Zara pernah menulis kata-kata ejekan kepada saksi. Saksi berkata, selepas kejadian itu, hubungan dia dengan Zara ‘okay saja’ dan Zara ada tersenyum dengan saksi bila mereka berjumpa.
"Saksi setuju ada pelajar senior Tingkatan Dua yang tidak suka terhadap Zara Qairina tetapi dia tidak tahu siapa pelajar tersebut," katanya.
Mohd Syarulnizam bersama rakan sepasukannya, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan Jame hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues ini bagi mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.
Imbas kembali, Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 17 Julai.
Pelajar Tingkatan Satu itu dimasukkan ke hospital berkenaan selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolah pada 16 Julai.
Pada 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina.
Sumber: Sinar Harian