ADA sesuatu pada pesona wajahnya yang membuatkan ramai terpaku. Karisma tenang, senyuman ikhlas dan sorotan mata yang sarat tanggungjawab.
Itulah aura yang dibawa pelakon kacak kelahiran Singapura, Hisyam Hamid, yang kini kembali mencuri perhatian menerusi drama bersiri terbaharu Saat Aku Tahu, terbitan Viu.
Dalam setiap langkah kariernya, Hisyam kekal sederhana tetapi matang, menjadikan setiap lakonannya hidup dan penuh jiwa.
Pun demikian, lumrah apabila bergelar selebriti, pasti berdepan dengan pelbagai ragam peminat. Hisyam tidak terkecuali. Namun, dia tidak melihat keghairahan segelintir peminat fanatik sebagai ancaman.
“Kalau dia mesej banyak kali pun, bagi saya itu masih dalam batas. Selagi tak melanggar undang-undang, etika atau ganggu keluarga, saya okay sahaja.
“Ramai suruh saya ambil tindakan, tapi bagi saya... dia cuma peminat yang terlalu menyokong,” ujarnya sambil tersenyum menampakkan lesung pipit penambah manis di wajah.
Sikap rasional itu membuktikan kematangan Hisyam dalam menangani tekanan dunia glamor. Katanya, tidak semua perkara perlu dibesar-besarkan, asalkan tidak 'menyentuh garis halus' privasi keluarganya.
SinarPlus sempat menemu bual aktor berbakat besar itu, bukan sekadar sebagai anak seni sahaja, sebaliknya mahu mendengar pengakuan empunya diri akan sisi peribadinya sebagai seorang bapa usai bahtera rumah tangga yang dibina runtuh di tengah jalan.
DI sebalik kemasyhuran, Hisyam Hamid kekal berpijak di bumi nyata. Baginya, dunia glamor hanyalah sebahagian kecil daripada kehidupan sebenar.
Ini kerana di rumah, dia bukan pelakon, bukan selebriti tetapi seorang ayah yang mahu anak-anaknya membesar dengan penuh kasih, hormat dan empati.
“Bagi saya, kalau nak jadi contoh, biarlah dengan perbuatan. Dunia sekarang terlalu banyak gangguan.
“Jadi saya nak anak-anak tahu... kasih sayang dan kejujuran masih ada nilainya,” ungkap pemilik nama sebenar, Hazmi Hisyam Abdul Hamid itu.
Di sebalik jadual padat dengan projek lakonan, tuan punya badan mengakui kehidupannya kini lebih tertumpu kepada sepasang cahaya mata kesayangannya yang semakin meningkat remaja.
“Saya ni bukan bapa yang sempurna, tapi akan sentiasa cuba beri yang terbaik untuk mereka.
“Anak-anak sudah besar, seorang tengah diploma, seorang lagi tunggu keputusan peperiksaan.
“Sebagai bapa, saya nak anak-anak berjaya terlebih dulu sebelum fikir soal cinta atau kahwin. Selesai segalanya barulah boleh fikir benda lain,” jelasnya tegas, namun berlapik kasih.
Apabila bercerita soal pendidikan anak, nada suaranya turut berubah serius. Kata Hisyam, dunia sekarang terlalu mencabar dan menakutkan, justeru asas keluarga amat penting.
“Semuanya bermula dari rumah. Macam mana kita didik dan berkomunikasi dengan anak-anak.
“Dalam hal ini, saya mahu jadi orang pertama untuk mereka datang jika ada masalah. Alhamdulillah, sampai sekarang anak-anak memang masih terbuka untuk bercerita apa saja,” katanya sambil tersenyum bahagia.
Bekas anggota bomba itu turut menekankan pentingnya empati dalam membentuk peribadi anak.
“Sejak dari kecil lagi, saya sudah membiasakan anak-anak untuk saling berpeluk, mencium dan menyapa setiap kali keluar atau pulang dari sekolah. Pada saya, itu salah satu amalan yang membantu membentuk kasih sayang sejati dalam keluarga.
“Sekarang ni, hubungan kami ibarat macam kawan. Lebih-lebih lagi dua beradik itu sudah besar. Anak sulung, Nurish kini sudah 18 tahun, manakala adiknya, Haydeen, 16 tahun.
“Apabila mereka ada masalah, mereka mesej atau FaceTime saya dan mereka juga tahu, saya akan datang bila-bila masa,” luahnya penuh makna.
Sekadar info, pada Mei tahun lalu, Hisyam mengumumkan mengenai perceraiannya dengan bekas isteri, Rosmawati Hanafi selepas mendirikan rumah tangga pada 2006.
Restu anak-anak
Dilabel segelintir warganet sebagai 'duda hot', aktor berusia 40 tahun itu mengakui selesa memegang status tersebut sehingga kini. Dedah Hisyam Hamid, belum masanya untuk dia 'meletak jawatan'.
Menariknya, Hisyam tidak menolak kemungkinan membuka hati semula, tetapi dengan bersyarat.
“Kalau nak menangi hati saya, kena dapat restu anak-anak dulu. Mereka pun dah matang, jadi pandangan mereka penting.
“Kalau mereka okay, saya pun akan pertimbangkan,” ujarnya sambil ketawa kecil sebelum menutup perbualan mengenai sisi privasi hidupnya.
Bicara kami kemudiannya beralih kepada kariernya dalam dunia lakonan.
Dalam drama Saat Aku Tahu, Hisyam tampil dengan sisi berbeza, bukan lagi watak hero sempurna, tetapi karakter yang sarat konflik dan sisi gelap.
Kata tuan punya badan, dunia lakonan tidak selalu tentang memilih watak yang selesa. Ada projek yang diidamkan, ada yang perlu dilakukan dan ada juga yang terpaksa diterima demi kelangsungan karier.
“Pada saya, tidak semestinya sebab muka elok, kena jadi hero baik-baik sahaja. Sejujurnya, saya nak tunjuk pelakon pun boleh versatil.
“Watak antagonis pun ada perjalanan, ada penyesalan dan ada perubahan. Itu cabarannya,”
katanya lagi.