ADA kisah yang membuat kita berhenti seketika, menarik nafas panjang dan bertanya kepada diri sendiri: bagaimana seseorang mampu bangkit setelah segalanya direnggut dalam sekelip mata?
Bagi seorang lelaki berusia 35 tahun ini, perjalanan hidupnya bukan sekadar jatuh bangun, tetapi bukti bahawa takdir tidak pernah memadamkan cahaya bagi hati yang tetap mencari jalan pulang.
Tiga tahun lalu, hidupnya berubah mendadak. Pada 20 Jun 2022, dunianya gelap sekelip mata. Dia ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 – SOSMA.
Hari-hari berikutnya terasa beku. Seolah-olah masa berhenti, burung di angkasa lupa untuk terbang, dan dirinya hanya ditemani tembok besi serta sunyi yang panjang.
Perkongsian yang dimuat naik menerusi Facbeook Universiti Utara Malaysia (Official FB)
Untuk rekod, lelaki itu sebelum ini pernah berkhidmat sebagai anggota keselamatan dalam bahagian perisikan. Pakaian seragam yang selama ini melambangkan disiplin dan maruah berubah menjadi baju ungu tahanan.
Tiga tahun menjadi tahanan reman, menunggu nasib yang tidak dapat dijangka.
Ketika itu usianya baru 32 tahun. Baru mendirikan rumah tangga, baru membina harapan. Namun badai datang tanpa memberi tanda.
Dalam tahanan, gajinya ditahan. Dan ketika jiwa berada di hujung kekuatan, hadir ujian yang paling melukakan apabila isterinya memohon fasakh.
"Tetapi di saat itulah saya sedar, luka yang disuluh dengan cahaya Tuhan tetap akan sembuh.
"Tentunya ALLAH tidak menghukum saya. Dia sedang mendidik untuk saya menjadi manusia yang baru,” ujarnya perlahan.
Walaupun tiada apa di tangan, tuan punya badan tetap memilih untuk bangkit. Doa menjadi tongkatnya.
MEMBINA HARAPAN
Dengan sokongan Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud, Dr. Mazli Mutazam, serta keprihatinan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato' Dr. Mohd Foad Sakdan, dan kerjasama Pengarah Penjara Alor Setar, Suhairi Awang, lelaki itu dibenarkan menyambung pengajian Sarjana Sains Pengurusan (Mod Penyelidikan) dari dalam penjara.
Bayangkan menulis tesis dari ruang 8x15 kaki. Cahaya samar, tiada kipas, tidur beralaskan pelapik getah setebal setengah inci.
Namun dari ruang sempit itulah dia mengumpul kekuatan, membina harapan lembar demi lembar.
“Saya menulis, membaca dan berdoa agar suatu hari nanti akan keluar, bukan hanya sebagai orang bebas, tetapi sebagai graduan yang membuktikan bahawa ilmu itu kebebasan sebenar,” katanya.
Hambatan tetap banyak, tiada internet, bahan rujukan terhad dan komunikasi terbatas.
Tetapi kreativiti dan keteguhan jiwa menjadi senjata utamanya.
Pada 18 September 2024, tiba hari yang dinanti, hari viva.
"Namun saya punya sesuatu yang mereka di luar tidak punya, keyakinan bahawa ilmu mampu membebaskan jiwa.
“Apabila pengerusi mengumumkan saya lulus viva, saya tunduk dan menangis.
"Hari itu juga saya diterima semula sebagai manusia, bukan tahanan penjara,” katanya, menahan sebak.
INSPIRASI MASYARAKAT
Berita mengenai “Tahanan Penjara Alor Setar Lulus Viva” kemudian tular. Tidak pernah terlintas di fikiran bahawa perjuangan sunyinya akan menjadi inspirasi masyarakat.
Namun jauh di sudut hati, dirinya mahu kisah ini membuka mata bahawa penjara bukan pengakhiran hidup.
"Hari ini, beliaulah yang paling gembira melihat saya menggenggam segulung ijazah sarjana,” katanya lagi.
Akhirnya Dewan Mu’adzam Shah menjadi saksi, dia melangkah ke pentas menerima ijazah daripada Pro-Canselor UUM, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah.
Setiap langkahnya bukan lagi langkah seorang tahanan, tetapi derapan kaki seorang insan yang mensyukuri peluang kedua.
"Dan hari ini, kemenangan menggenggam ijazah sarjana,” katanya.
Kini dirinya benar-benar memahami makna kebebasan, bukan ketika pintu sel dibuka, tetapi ketika minda bebas daripada pandangan manusia yang pernah meragukan.
“Menjadi berbeza itu tidak selalu akan jadi yang terbaik, tetapi yang terbaik itu pasti berbeza dan sesungguhnya, menuju kejayaan kita akan pasti melalui jalan yang sepi, jalan berliku dan pastinya ia bukan jalan yang mudah,” katanya menutup bicara.
Dia dalam pada itu menzahirkan penghargaan kepada UUM, para pensyarah, pegawai penjara, keluarga besar Penjara Alor Setar dan yang terpenting, ibunya yang tidak pernah berhenti percaya.
Kasih, kepercayaan dan ilmu telah mengubah seorang tahanan menjadi seorang graduan.
Dan hari ini, masa depan tampak tidak lagi gelap kerana sesiapa yang mahu berubah, pasti akan menemui jalannya.