SOAL masa depan pendidikan anak-anak negara ini memang tidak pernah sunyi.
Namun minggu ini, perbincangan itu kembali meledak apabila isu pengembalian UPSR mula menjadi topik trending dalam kalangan ibu bapa, guru dan masyarakat.
Di sebalik kegusaran tentang hala tuju generasi muda, satu hantaran daripada Pengerusi MARA, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mencetuskan gelombang baharu perdebatan.
Dalam catatan tegas yang dimuat naik di Facebook, beliau menegaskan bahawa alasan pemansuhan UPSR sebelum ini adalah “tidak munasabah”, malah menyifatkan peperiksaan itu perlu dikembalikan kerana fungsinya masih besar dalam menilai kemampuan pelajar serta membentuk disiplin diri.
“Kalau benar peperiksaan melahirkan generasi ‘burung kakak tua’, maka SPM juga patut dimansuhkan. Peperiksaan seperti UPSR penting untuk mengukur tahap penguasaan ilmu pelajar. Wajar dikembalikan!” tulisnya.
Bagi beliau, peperiksaan bukan sekadar ujian hafalan, tetapi proses membina daya tahan, konsistensi dan motivasi dalam diri anak-anak, nilai yang membentuk karakter jangka panjang.
Beliau turut menyenaraikan lima sebab mengapa UPSR wajar dipertimbangkan semula sebagai sebahagian struktur pendidikan negara.
5 Sebab Kenapa UPSR Patut Dikembalikan:
1. Menilai penguasaan ilmu sebenar
- Membantu pelajar dan guru melihat kekuatan dan kelemahan dalam pembelajaran secara objektif.
2. Membentuk disiplin & tanggungjawab
- Peperiksaan memupuk konsistensi, perancangan dan ketahanan mental sejak kecil.
3. Penyaringan ke sekolah berprestij
- Dahulu menjadi mekanisme rujukan untuk kemasukan ke SBP, MRSM, SMKA dan vokasional.
4. Mewujudkan daya saing sihat
- Mendorong pelajar berusaha lebih gigih dan merasai nilai perjuangan untuk berjaya.
5. Latihan tentang usaha dan Reda
- Proses menghadapi peperiksaan membina ketabahan, sabar dan kepercayaan bahawa kejayaan menuntut usaha.
Seperti biasa, topik pendidikan jarang bersifat sehala. Di ruangan komen, perbincangan terlihat cukup rancak. Ada yang menyokong penuh cadangan tersebut, tak kurang yang menyuarakan pandangan berbeza serta mencadangkan pendekatan alternatif.
Ramai ibu bapa berpendapat UPSR sepatutnya tidak dimansuhkan sejak awal.
“Setuju.. pelik juga pakar yg kata burung kakak tua tu... Dia tu burung kakak tua ke… Kadang-kadang pakar ni pakar cari makan. Mana tempat boleh cari makan, dia sokong je lah, asalkan masyukk,” komen seorang pengguna secara sinis.
Seorang lagi pula melihat peperiksaan sebagai bentuk kawal selia akademik:
“Sokong, peperiksaan itu perlu terutama UPSR kerana perlu ada satu bentuk ukuran pencapaian sebelum pelajar melangkah ke sekolah menengah. Tapi guru dan ibu bapa kena faham tujuan sebenar peperiksaan, bukan jadikan ia alat menunjuk-nunjuk atau KPI.”
Ada yang lebih bimbang tentang perubahan tingkah laku pelajar selepas pemansuhan peperiksaan:
“Setuju.. Wajar dikembalikan UPSR & PT3. Fokus anak2 masa kini sudah lari bila tiada peperiksaan. Lebih banyak ikut influencer. Biar jadi burung kakak tua daripada bercakap kosong.”
Dalam masa sama, ramai juga yang menolak idea mengembalikan peperiksaan itu kerana percaya sistem pendidikan sepatutnya bergerak ke arah yang lebih holistik.
“Tak sokong UPSR dan PT3 dikembalikan. Tambahkan silibus luar bilik darjah, kerja berpasukan dan kemasyarakatan. Kita nak lahirkan murid dengan jiwa yang kuat, bukan semata-mata hafalan,” tulis seorang pengguna.
Ada juga yang mahu pembaharuan lebih progresif:
“Jangan undur ke belakang. Fikir solusi terbaik untuk penilaian yang lebih seimbang dan realistik.”
Seorang lagi menyuarakan kebimbangan mengenai beban akademik yang semakin meningkat:
“DR ASYRAF WAJDI DUSUKI saya tidak setuju UPSR dikembalikan. Sekarang ini darjah 5 dan 6 ada UPKK, UASA, SDEA, SPRA. Jangan tambah lagi satu peperiksaan berpusat. TOLAK UPSR.”
Perdebatan kembali hangat, tetapi satu perkara jelas: masyarakat mahu sistem pendidikan yang benar-benar membina masa depan anak-anak.
Sama ada melalui UPSR atau alternatif baharu, rakyat menunggu arah yang lebih meyakinkan untuk generasi akan datang.