HAMPIR dua tahun bertarung nyawa dengan tiga jenis barah, pesakit kanser Cikgu E atau nama sebenarnya Nassry Mardee Ismail menghembuskan nafas terakhir.
Berita duka itu dikongsikan oleh anak sulungnya, Hakeem.
"Nassry Mardee Bin Ismail sudah meninggalkan kita semua.
"Moga ALLAH ampuni dia, rahmati dia, maafkan dia, muliakan kematian dia, lapangkan kubur dia, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggal dia dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga dia di tempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al Fatihah," titipnya.
Dalam pada itu, turut dimaklumkan bahawa jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Ipoh, Perak.
"Abah di kafankan oleh ahli keluarga dan disembahyangkan di Masjid Al Ansar, Meru pada pukul 7.30 petang, 11 November 2025
"Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Meru Raya," kongsinya.
Cikgu E sebelum ini meruntun hati warganet apabila kisahnya tular, apabila beliau berjuang mempertahankan nyawa dengan hanya 30 peratus saluran pernafasan yang masih berfungsi.
Hantaran Facebook berjudul 'Status Terakhir Untuk Keluarga Tersayang' meruntun hati dan menjadi tular pada Ahad.
Lebih menyayat hati, kata-katanya seolah menggambarkan dirinya reda dengan ketentuan dan mungkin tidak punya masa yang panjang untuk terus berada di sisi keluarga tercinta
Dalam keadaan tubuh semakin lemah, dia sempat menitipkan pesanan agar anak-anak dikurniakan kekuatan emosi pada hari-hari mendatang termasuk anak sulungnya, Hakeem dan isteri, Azlina Mohd Ali.
Allahyarham yang pernah menjalankan perniagaan membuka kedai kemudahan fotografi selepas berhenti menjadi guru pada 2012 meninggalkan tiga cahaya mata perempuan dan dua lelaki berusia antara lapan tahun hingga 19 tahun.
Sumber: Facebook