DALAM dunia keibuan hari ini, setiap pilihan ibu mudah menjadi perdebatan.
Begitu juga dengan Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, isteri kepada peserta Gegar Vaganza 12 (GV12), Nubhan, apabila cara beliau mendidik anak makan sendiri sejak bayi tular dan mengundang pelbagai tanggapan.
Ada yang memuji, ada juga yang mempersoalkan mengapa anaknya tidak disuap.
Namun bagi Dr Afifah, di sebalik kata-kata yang bertiup di media sosial, pendekatannya bukan trend, bukan juga sekadar gaya hidup moden.
Ia adalah pilihan yang dibina atas ilmu, penyelidikan dan hasrat untuk membentuk anak-anak yang lebih berdikari menghadapi dunia yang tidak selalu mudah.
Melalui perkongsian di Threads, ibu kepada tiga cahaya mata itu menjelaskan mengapa konsep baby-led weaning menjadi keutamaan dalam membesarkan tiga cahaya matanya.
“Saya mula menggalakkan anak kecil untuk makan sendiri pada usia enam bulan.
"Bukan kerana saya ingin tergesa-gesa, tetapi kerana percaya sikap berdikari bermula awal dan jika kehidupan sentiasa tidak menentu.
"Sekurang-kurangnya anak-anak kita tahu bagaimana untuk menjaga diri mereka," ujarnya.
Sebagai seorang ibu dan juga doktor gigi, Dr Afifah tidak membuat keputusan itu tanpa kajian mendalam.
“Sebagai seorang ibu, saya telah menghabiskan banyak masa untuk belajar dan membuat penyelidikan tentang cara memberikan permulaan yang terbaik untuk anak-anak.
"Saya menemui konsep ‘baby-led weaning’ (bayi makan sendiri) bersama Aaffan tetapi dengan Afzan, saya memulakan seawal usia enam bulan," jelasnya lagi.
Bagi beliau, membenarkan anak makan sendiri bukan bermaksud melepaskan tanggungjawab, tetapi satu cara membina keyakinan dan kemahiran asas yang akan membantu mereka berdikari seiring pertumbuhan.
Namun, perjalanan seorang ibu tidak pernah terlepas daripada cabaran. Tekanan sosial, pendapat orang sekeliling dan perbandingan antara ibu sering kali menambah beban mental.
“Motherhood tidak selalunya datang secara semula jadi, kadangkala ia memerlukan usaha, kesabaran dan kemahuan untuk belajar.
"Akhirnya, saya menemui keseimbangan antara cara tradisional dan pendekatan moden, dan itu sangat okey," ungkap wanita itu lagi.
KONSEP PEMBELAJARAN
Dalam masa sama, Dr Afifah secara bersahaja membalas kritikan yang mempertikaikan konsep pembelajaran awal anak-anaknya.
“P/s: yang kata saya tak suap anak tu tahu ke teknik ni?”
Sekadar makluman, kisah keluarga tersebut menjadi perhatian ramai selepas isu tuntutan hadanah melibatkan Nubhan.
Penyanyi tersebut sebelum ini memfailkan hadanah penuh serta interim terhadap anak-anak di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Nubhan pernah melafazkan talak satu terhadap Dr Afifah pada 2017 yang ketika itu sedang hamil enam bulan.
Mereka kemudiannya rujuk semula, namun lafaz itu tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa agama sebelum tindakan pengesahan dibuat kemudian, termasuk lafaz talak kedua pada Ogos 2025.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6; serta Afzan Nayille, 3.
Pendekatan Dr Afifah menjadi ingatan buat ramai ibu: setiap keputusan dalam membesarkan anak adalah pilihan yang berakar daripada kasih sayang dan pengetahuan.
Kadangkala ia tampak bertentangan dengan norma, tetapi jika dilakukan dengan ilmu dan kesedaran, ia memberi kekuatan baharu dalam membesarkan generasi yang lebih berdikari dan yakin.