"AMALAN terbesar Cikgu E ialah dia suka tolong orang. Dari awal penubuhan madrasah, dia yang paling banyak bantu kami."
Demikian kongsi pengasas Madrasah Ashabus Suffah, Muhammad James Baven antara individu yang menjadi saksi kebaikan dan amal jariah Allahyarham Nassry Mardee Ismail, 45, atau lebih dikenali sebagai Cikgu E.
Senyuman lembut dan budi bahasanya yang tidak pernah lekang diingatan kini hanya tinggal kenangan.
Pemergiannya meruntun hati banyak jiwa, tatkala ribuan hadir mengiringi jenazahnya, seolah-olah menghadiahkan doa terakhir buat seorang insan yang hidupnya penuh kasih dan kebaikan.
Justeru, tidak hairanlah apabila amalan sedekah dan kemurahan hatinya menjadi buah mulut ramai selepas pemergiannya.
Ribuan hadir memberi penghormatan terakhir itu bukan sekadar tanda kasih, tetapi bukti bahawa jasa dan budi arwah telah meninggalkan kesan mendalam dalam hati setiap insan yang pernah mengenalinya.
Menurut Muhammad James Baven, bukan sahaja seorang sahabat yang pemurah, malah menjadi insan paling banyak membantu madrasah berkenaan sejak ia ditubuhkan sembilan tahun lalu.
"Sampai masa dia buka satu kedai serbaneka di Manjoi ketika pandemik Covid-19 tahun 2020, dia suruh pelajar madrasah kami datang ambil barang apa sahaja tanpa perlu bayar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas pengebumian Allahyarham.
Beliau malah percaya amalan sedekah yang istiqamah menjadi antara sebab ramainya insan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
"Kematian yang dicemburui ini bukan kebetulan. Saya yakin sedekahnya yang luar biasa itulah yang mengangkat darjatnya di sisi ALLAH.
"Sepanjang 20 tahun saya tinggal di Meru Raya, tak pernah saya lihat orang seramai itu datang ziarah jenazah. Ini pasti kerana amalan istimewa beliau,” katanya sebak.
Katanya lagi, Allahyarham sentiasa memastikan pelajar madrasah yang terdiri daripada anak yatim dan asnaf tidak terputus bekalan keperluan asas.
"Setiap dua minggu dia akan tanya saya, ‘Ustaz, barang anak-anak dah habis ke belum? Kalau habis datang ambil lagi’.
"Dia gunakan perniagaan dia untuk bantu orang. Bukan kami saja, malah madrasah lain pun dia bantu,” katanya.
Muhammad menambah, arwah juga seorang yang banyak menabur bakti melalui kepakarannya dalam bidang media dan fotografi.
"Dia ajar pelajar-pelajar kami kenal dunia media, latih mereka jadi jurugambar tanpa ambil apa-apa bayaran.
"Masa tengah sakit pun, dia masih hubungi saya, tawarkan diri nak ajar cara guna Facebook untuk jana pendapatan bagi madrasah,” ujarnya.
Terdahulu, Masjid Al-Ansar di Bandar Meru Raya, Ipoh dibanjiri ribuan jemaah yang hadir menunaikan solat jenazah Allahyarham Nassry Mardee atau lebih dikenali sebagai Cikgu E, yang dilaksanakan selepas solat Isyak.
Solat jenazah tersebut diimamkan oleh anak sulungnya, Nasrul Hakeem Nassry Mardee Ismail, 19, dan turut disertai ahli keluarga serta rakan-rakan Allahyarham.
Sejurus selesai urusan di masjid kira-kira jam 8.45 malam, jenazah Allahyarham dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Meru Raya untuk disemadikan.
Perjuangan Cikgu E bertarung dengan kanser buah pinggang, kanser kelenjar, dan kanser paru-paru tahap empat dengan hanya 30 peratus saluran pernafasan sejak Mac 2024 menjadi perhatian warganet.
Hantaran Facebook berjudul 'Status Terakhir Untuk Keluarga Tersayang' meruntun hati dan menjadi tular pada Ahad.
Lebih menyayat hati, kata-katanya seolah menggambarkan dirinya reda dengan ketentuan dan mungkin tidak punya masa yang panjang untuk terus berada di sisi keluarga tercinta
Dalam keadaan tubuh semakin lemah, dia sempat menitipkan pesanan agar anak-anak dikurniakan kekuatan emosi pada hari-hari mendatang termasuk anak sulungnya, Hakeem dan isteri, Azlina Mohd Ali.
Allahyarham yang pernah menjalankan perniagaan membuka kedai kemudahan fotografi selepas berhenti menjadi guru pada 2012 meninggalkan tiga cahaya mata perempuan dan dua lelaki berusia antara lapan tahun hingga 19 tahun.