DICERAIKAN, dikhianati, ditinggalkan… bagi sesetengah orang, itu sudah cukup untuk menundukkan hati dan menumpahkan air mata. Tapi tidak bagi usahawan, Madam Mariyah.
“Bila kita diceraikan, kita dikhianati, kita jangan nangis. Air mata kita ni mahal, sayang,” tegasnya.
Selepas kegagalan rumah tangga yang dibina selama 20 tahun terlerai begitu sahaja akibat kehadiran insan ketiga, dia enggan membiarkan diri dirundung kesedihan dan hanya 'meratap hiba', sebaliknya wanita yang kini sudah memasuki separuh abad namun tetap anggun bergaya muncul dengan penuh keyakinan.
"Aku pun boleh, eh.' Jamilah' pun boleh, tau. Boleh meledak,” katanya dengan nada penuh semangat.
Kata-kata itu bukan sekadar gurauan, tetapi seruan kuat buat semua wanita yang pernah ditinggalkan. Ungkap wanita tinggi lampai itu, jangan biarkan kekecewaan memadamkan sinarmu.
Bagi Madam Mariyah, diceraikan bukan pengakhiran.
“Saya tak rasa apa pun bila dilepaskan. Sebab benda tu hadiah yang istimewa daripada ALLAH untuk saya,” tegasnya lagi.
Bangkit, Cantik, dan Kuat
Madam Mariyah menekankan bahawa wanita harus bijak, pandai, cantik, dan kuat.
“Wanita tak boleh nangis. Wanita pun boleh hidup tanpa lelaki. Usia bukan halangan untuk bersinar,” ujarnya.
Tambahnya lagi, bagi wanita berumur 25 atau 30 tahun, cantik itu normal. Tapi bagi dirinya yang bakal memasuki 51 tahun, Madam Mariyah masih kekal anggun dan memukau.
Mengulas mengenai kata-katanya yang berbunyi, “Bangun-bangun dah cantik, tak cantik jangan bangun,” Madam hanya tersenyum melihat pelbagai reaksi warganet.
Kata-kata itu mungkin kedengaran lucu, tetapi sebenarnya penuh motivasi dan semangat, supaya wanita bangkit kembali daripada kegagalan dan tidak patah semangat.
Dalam usia sebegitu, pengusaha produk kopi jenama Che’lims itu mengakui rahsianya tetap kental: “Saya tidak baca komen dan kecaman netizen.
"Kecaman itu hadiah daripada netizen, pahala percuma untuk saya,” ulasnya sambil tersenyum.
Bukan hanya soal penampilan, Madam percaya wanita perlu menjaga diri untuk diri sendiri, bukan sesiapa.
“Pesanan saya, kita semua kaum wanita memang kena cantik,” tegasnya.
Ditanya mengenai sindiran netizen, “Cantik-cantik pun kena tinggal,” Madam memberi jawapan padu:
"Untung-untung kita dapat lagi lebih daripada Jamil. Kan?” katanya sambil tertawa.
Pada masa sama Madam Mariyah yang dahulunya dikenali sebagai Makcik Kemboja turut menekankan bahawa wanita perlu mandiri, bergaya, pandai cari duit sendiri, dan kekal sihat.
"Jangan kerana kegagalan rumah tangga membuatkan kalian jadi sedih, suram, muram," tegasnya.
Pemilik syarikat AURAMARIA itu turut mengingatkan bahawa kehilangan bukan pengakhiran, tetapi titik permulaan untuk wanita bangkit lebih hebat.
“Belajar bahawa air mata mahal, kekuatan diri utama, dan kecantikan sebenar bermula dari hati yang reda dan berani bersinar,” ulasnya penuh inspirasi.