'ALLAH temukan orang baik-baik untuk saya move on & perbaiki diri' – Dr Fie tenang, kuat demi anak, akui Nubhan ayah yang baik

Iklan

DALAM setiap ujian rumah tangga, ada insan yang memilih untuk kuat bukan kerana dirinya, tetapi demi mata kecil yang memandang.

Itulah ketenangan yang terpancar pada wajah isteri kepada penyanyi Nubhan Ahmad, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, atau lebih mesra disapa Dr Fie.

Iklan
Iklan

Walau badai melanda, beliau tetap memilih kedamaian, bukan untuk dirinya semata-mata, tetapi untuk tiga permata hati yang menjadi sumber kekuatan utamanya.

Berkongsi tentang perjalanan hidupnya kini, Dr Fie mengakui hubungan bersama Nubhan masih dijaga sebaik mungkin.

Iklan

Beliau berkongsi hal tersebut ketika ditemui pada majlis pembukaan rasmi butik JeMels Atelier milik Ashraf Muslim di IOI City Mall.

Iklan

Pada masa sama, wanita yang murah dengan senyuman itu tidak berselindung mengenai situasi rumah tangga yang sedang dihadapi.

Biar berdepan kemelut, Dr Fie tetap mengakui Nubhan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah.

“Bagi saya, Nubhan ayah yang baik. Saya tak mahu jauhkan dia dengan sesiapa. Anak-anak berhak untuk berseronok dan meluangkan masa dengan sesiapa pun,” jelas Dr Fie.

Katanya lagi, anak-anak kini lebih banyak bersamanya memandangkan mereka bersekolah, manakala Nubhan agak sibuk kebelakangan ini. Namun, beliau tidak pernah menghalang waktu bersama ayah mereka.

“Kalau Nubhan ada masa terluang, saya tidak halang untuk dia jumpa dengan anak-anak supaya mereka tak rasa kehilangan.

“Demikian juga dengan yang lain, baik ahli keluarga saya mahupun mentua. Saya tak mahu jauhkan mereka dengan sesiapa. Anak-anak berhak untuk berseronok dan meluangkan masa dengan sesiapa pun,” kongsinya lagi.

HAK PENJAGAAN

Pasangan ini kini menunggu keputusan berkaitan hak penjagaan penuh (hadanah) yang dijadualkan berlangsung pada 2 Disember depan. Buat masa ini, hak penjagaan sementara diberikan kepada Dr Fie.

Jelasnya, mengamalkan hubungan dan komunikasi yang baik dengan Nubhan membuatkan hidupnya lebih teratur.

“Alhamdulillah saya tenang, sebab saya ada anak-anak. Saya pun mahu anak-anak tengok saya bukan sebagai seorang ibu yang lemah.

“Saya mahu kalau saya kuat, anak-anak saya pasti boleh kuat macam saya,” tegasnya lagi.

Dalam fasa mencabar itu, Dr Fie memilih untuk memberi tumpuan kepada anak-anak serta kehidupannya yang semakin positif.

Beliau kini dikelilingi individu yang membantunya bangkit.

“Kita sebagai seorang ibu mesti nak yang terbaik untuk anak-anak. Kita akan fikir anak-anak dahulu, baru diri kita.

“Alhamdulillah, sekarang saya banyak dapat kawan usrah yang baik,” ungkapnya lagi.

Beliau juga melihat perjalanan ini sebagai ruang untuk mematangkan diri.

“Allah temukan dengan orang-orang yang baik untuk saya teruskan hidup dan perbaiki diri.

“Saya juga bersyukur, alhamdulillah dapat banyak rezeki yang tak disangka. Kalau dulu orang tengok dalam video, kehidupan saya okey dan baik, jadi, mungkin ini adalah ujian untuk saya supaya menjadi lebih matang dan lebih baik pada masa akan datang,” dedahnya lagi.

Ditanya adakah anak-anak mengetahui situasi yang dialami sekarang, Dr Fie  mengakui, dia dan Nubhan masih belum memberitahu keadaan sebenar dan menunggu sehingga keputusan mahkamah diperolehi.

"Saya ada juga cakap dengan Nubhan supaya kita jelaskan bersama-sama. Tapi apa-apa pun, kita tunggu mahkamah 2 Disember nanti,"jelasnya.

JODOH

Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata,

Aafiya Kamilia (8), Ahmad Aaffan (6), dan Afzan Nayillle (3).

September lalu, Nubhan memfailkan tuntutan hadanah penuh serta interim terhadap anak-anak di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Sebelum itu, dia turut memfailkan permohonan pengesahan perceraian dan satu lafaz rujuk di Mahkamah Rendah Syariah.

Menutup perbualan bersama SinarPlus, Dr Fie sempat ditanya tentang segelintir netizen yang bergurau mahu melamarnya.

Ini jawapan ‘win’ Dr Fie berikan. Ringkas, merendah diri dan cukup matang.

“Jodoh semua di tangan Tuhan kan. Kalau ada jodoh, adalah… Kalau tak ada jodoh nak buat macam mana. Tapi saya tak fikir perkara itu, fokus saya pada anak-anak,” ungkapnya tulus.