KISAH cinta yang berakhir di hujung jari, bukan dengan lafaz keramat sebaliknya dengan 'bluetick' di aplikasi mesej. Bayangkan, segala persiapan rapi telah dibuat namun debaran menanti hari pernikahan bertukar menjadi detik paling perit bagi Nor Syafiqah Mohd Sharif, 28.
Bukan sahaja terluka perasaan apabila bakal suami yang dicintai 'ghaib' tanpa berita sehari sebelum disatukan, malah dia turut 'berputih mata' apabila majlis yang menelan belanja lebih RM12,000 hangus.
Memetik laporan Sinar Harian, pengusaha gerai makan dari Kampung Padang Luar, Mukim Pelubang itu memberitahu, alasan bakal suaminya yang dihantar melalui pesanan ringkas, kononnya bapa tidak merestui.
Lelaki berusia 36 tahun itu dikenali sejak lapan bulan lalu merupakan pekerjanya dan segalanya berjalan dengan baik.
“Sepanjang perkenalan, hubungan kami berjalan lancar meskipun mendapat tentangan daripada keluarga pihak lelaki.
Artikel berkaitan:
- Dia hina saya…cukup nak cerai sekarang.' Pengantin perempuan ‘mengamuk’ lepas akad nikah
- Pengantin perempuan rugi katering tak datang, penting 'checklist' majlis
- Terima mahar depan jenazah, video pengantin perempuan ini undang sebak warganet
- Kerja keras urus kahwin seorang diri, lelaki yatim piatu pasrah pasangan minta putus 7 hari sebelum nikah
“Dia beritahu bapanya tidak merestui hubungan kami, tetapi tetap mahu teruskan perkahwinan.
"Malah, dia menemani saya mencuba pakaian pengantin dan datang ke rumah sehari sebelum majlis untuk menyatakan kesungguhan meneruskan akad nikah,” katanya.
Jelasnya lagi, pada pagi Jumaat, mesej WhatsApp yang dihantar hanya dibalas dengan blue tick tanpa sebarang respons.
Segala persiapan termasuk kad jemputan, pelamin dan barangan perkahwinan untuk majlis resepsi pada 13 Disember kini terpaksa dibatalkan.
“Saya mengalami kerugian hampir RM12,000 bagi semua persediaan perkahwinan ini. Semua itu daripada simpanan saya sendiri.
"Saya tiada ibu dan ayah, hanya bergantung pada kasih sayang abang dan kakak kerana saya anak bongsu daripada lima beradik,” katanya sebak.
Difahamkan, Imam Kariah Lubuk Batu yang dijadualkan menikahkan mereka berdua sudah hadir namun pengantin lelaki tidak muncul.
Lebih menyedihkan, 1,000 tetamu termasuk ahli keluarga dan kenalan hadir ke majlis yang lengkap dengan khemah, pelamin, pakaian pengantin dan katering makanan, namun dia terpaksa memaklumkan bahawa pernikahan tidak dapat berjalan seperti dirancang.
“Saya malu dan hanya berkurung dalam bilik. Petang itu barulah saya tukar pakaian dan keluar bertemu tetamu.
"Saya dimaklumkan dia tidak hadir kerana takut dimarahi bapanya, tetapi saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku,” ujarnya.
Enggan membiarkan diri teraniaya, Nor Syafiqah bangkit membela nasib diri dan mengambil tindakan undang-undang.
“Saya sudah buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu kerana rasa tertipu. Saya juga telah berjumpa dengan peguam untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.
Menurut Nor Syafiqah, sehingga ke hari ini pihak pengantin lelaki tidak datang memohon maaf atau menjernihkan keadaan.
"Kalau pihak sana datang minta maaf atau berbincang elok-elok mungkin saya boleh maafkan, tapi sampai sekarang langsung tiada khabar berita," katanya
Malah, pihak lelaki juga terus mendiamkan diri dan sudah tidak bekerja dengannya lagi.
Memandangkan segala persiapan sudah dibuat untuk resepsi 13 Disember, justeru akan diteruskan sebagai sambutan hari lahir puteri tunggalnya.
"Saya akan teruskan majlis dengan menjemput tetamu awal bulan ini tetapi majlis hari lahir anak saya.
"Pelamin dan khemah kenduri pun akan dipulangkan hari ini," katanya.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro