KECOH isu berkaitan siri animasi ditayangkan di saluran TV2, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memaklumkan telah menghentikan siaran animasi berkenaan untuk membuat penelitian lanjut keseluruhan kandungan siri tersebut.
Ia susulan dakwaan orang ramai perlakuan atau kemesraan watak yang menggambarkan hubungan pasangan sejenis.
"Mengambil maklum beberapa pandangan berhubung kandungan sin animasi bertajuk Santiago of the Seas episod 22 yang telah disiarkan di TV2 pada 16 November 2025, Ahad, pukul 10.00 pagi.
"Berdasarkan laporan Penilaian Kandungan dan semakan yang telah dilaksanakan, tiada perlakuan atau kemesraan yang menggambarkan hubungan pasangan sejenis, mahupun sebarang elemen yang menjurus ke arah itu.
"Namun, bagi memastikan tiada elemen yang boleh menimbulkan keraguan atau sensitiviti masyarakat, RTM telah menghentikan siaran animasi berkenaan untuk membuat penelitian lanjut keseluruhan kandungan siri tersebut," kongsinya.
Dalam pada itu, stesen penyiaran itu menyatakan komitmen untuk memastikan semua kandungan yang disiarkan mematuhi etika penyiaran dan tidak menimbulkan ketidaksenangan mana-mana pihak.
"RTM memohon kerjasama semua pihak untuk tidak menimbulkan spekulasi yang tidak wajar serta merujuk terus kepada RTM bagi mendapatkan maklumat lanjut," titipnya.
Terdahulu, personaliti dakwah, Ustaz Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau PU Syed berkongsi hal berkenaan dan mempersoalkan proses penapisan sebelum siri itu ditayangkan serta memohon tindakan segera daripada pihak terbabit.
Sumber: RTM