LULUHNYA hati bapa ini umpama kaca yang berderai seribu, impian melihat puteri kesayangan menggenggam segulung ijazah tidak kesampaian.
Hanya berbaki sembilan menuju di majlis konvokesyen, namun takdir ALLAH telah memanggil pergi Wan Adlin Nadhilah binti Wan Nasrul Hakim, 23 atau mesra disapa Alin, buat selama-lamanya.
Keperitan kehilangan itu sudah cukup menyayat hati. Bapa, Wan Nasrul Hakim Wan Muhammad, 49, tidak menyangka menjadi imam memimpin solat jenazah buat cahaya mata sendiri.
Tidak sedar air mata menitis, begitu coretan sayu yang dikongsi oleh bapa ini. Ikuti kisah perpisahan memilukan, pengorbanan, dan kekuatan seorang ayah yang diuji dengan kehilangan besar dalam hidupnya.
Menurut Wan Nasrul pada Khamis, 13 November 2025, dia sempat merakam sebuah selfie bersama Alin ketika dalam perjalanan pulang dari Universiti Kebangsaan Malaysia selepas mengambil jubah konvokesyen.
Katanya Alin yang sejak kecil gemar memandu, meminta untuk mengendali stereng dari Tol Karak ke Mentakab. Ketika itu, dia sangat bahagia melihat anak gadinya memandu tanpa menyedari itu adalah kali terakhir.
Bapa itu berkongsi detik akhir Alin selepas gadis itu kemalangan dengan nada suara yang perlahan, seolah-olah cuba mengutip semula setiap serpihan kenangan sebelum tragedi.
Hari Jumaat itu, segalanya bermula seperti hari-hari biasa.
"Isteriku dan anak keempat, Yusuf, ke sebuah lagi rumah kami di Balok, Kuantan. Rumput lalang sudah mula naik.
"Alin tidak ikut sama kerana dia ada program bersama anak ketiga. Dua orang adikku dan sepupu-sepupunya untuk ambil gambar pra konvo pada Sabtu 15 November 2025.
"Aku habis meracun rumput pada waktu tengah dan jam 5.54 petang Sabtu itu, aku dapat panggilan telefon dari adik bongsu aku, mengatakan bahawa kereta Volkswagon Polodipandu adikkku, Noni yang dinaiki oleh Alin dan anak ketiga, Baby, serta kawan adikku, Kak Zana telah terlibat dalam kemalangan.
"Katanya rupa Alin elok sahaja, ibarat tiada kecederaan, Alin pergi dalam keadaan elok.
"Aku tarik tangan isteri aku, aku bawa kepada Yusuf, dan aku peluk kedua-duanya, sambil aku tunduk memandang lantai, sambil aku menangis, aku beritakan apa yang berlaku," kongsi Wan Nasrul.
Berita kehilangan Alin itu benar-benar menyesakkan dada. Reaksi ahli keluarga yang lain ibarat adegan ngeri yang tidak pernah terlintas di fikiran.
"Isteri aku menangis sambil menumbuk-numbuk aku, menangis sehingga terbaring atas lantai, Yusuf menangis duduk sambil kaki menendang-nendang.
Selepas Isyak, barulah keluarga ini mengumpul kekuatan untuk bertolak dari Balok ke Hospital Temerloh. Sepanjang perjalanan, tangisan menjadi teman.
Di Jabatan Kecemasan, mereka melihat keadaan Baby iaitu anak ketiganya yang cedera di kepala dan tulang rusuk patah.
Walaupun masih trauma, Baby terselamat.
Kira-kira jam 12 tengah malam, jenazah Alin dibawa ke rumah datuk dan neneknya di Mentakab, Pahang.
Detik sebak pada pukul 4 pagi, Wan Nasrul membuka kain penutup wajah anaknya dan ditatap wajah itu. Masih sempurna seolah-olah sedang tidur.
"Pukul 4 pagi, di ruang tamu rumah mak dan ayah aku, aku cuba buka kain penutup muka Alin, aku renung muka dia, aku cium dahi dia, aku menangis macam budak kecil.
"Muka Alin seperti tiada apa-apa cedera, kata doktor yang bedah siasat, badan Alin pun tiada apa-apa cedera, tetapi kerana kepala Alin terhentak kuat, menyebabkan otak Alin cedera, menyebabkan Alin pergi serta merta.
"Aku dan Yusuf tidur bersebelahan dengan Alin sehingga Subuh. Aishah sempat sampai pada waktu Subuh," kongsinya.
Selesai dimandi dan dikafankan, jenazah anak tersayang itu disolatkan oleh Wan Nasrul sendiri.
"Aku imamkan solat jenazah dia, tak pernah aku sangka yang aku akan jadi imam solat jenazah untuk anak aku sendiri. Aku tak pernah pun menjadi imam solat jenazah sebelum ini.
Wan Nasrul menerusi Facebook Tekan Minyak turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan penyelamat, para doktor, jururawat, jiran, saudara-mara dan rakan-rakan Alin yang hadir memberikan sokongan sepanjang detik sukar itu.
Menerusi hantaran lain, dia meminta pihak yang memiliki rakaman papan pemuda kemalangan yang meragut nyawa Alin tampil berkongsi bagi membantu siasatan.
Manakala pada Selasa, lelaki tersebut sudah menerima rakaman video berkenaan dan sengaja tidak memuat naik ke laman sosial kerana bimbang akan mengganggu siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron ketika dihubungi berkata, kemalangan itu masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berpunca daripada sebuah kereta jenis Proton Waja dipandu lelaki berusia 38 tahun hilang kawalan, masuk ke laluan bertentangan.
“Proton Waja itu kemudian melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kereta jenis Volkswagen yang dinaiki empat wanita berumur antara 22 tahun hingga 55 tahun yang sedang bergerak dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.
“Akibat kemalangan tersebut, penumpang belakang iaitu wanita berumur 23 tahun yang merupakan penuntut sebuah universiti awam di Bangi telah tercampak keluar daripada kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Sumber: Facebook, Malaysia Gazzette