BERUSIA 73 tahun dan sudah bergelar nenek kepada empat cucu, Dr Rafiah Kassim membuktikan bahawa kejayaan tidak pernah mengenal usia.
Dalam suasana penuh emosi di Istiadat Konvokesyen ke-103 Universiti Teknologi MARA (UiTM), beliau berdiri megah menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pendidikan.
Saat namanya dipanggil, dewan seolah-olah berkongsi detik haru itu bersama beliau, seorang wanita yang tidak pernah berhenti bermimpi, walaupun hidup sudah melewati usia emas.
Apa yang membuatkan pencapaiannya lebih menakjubkan ialah tempoh pengajian yang hanya mengambil masa tiga tahun, termasuk penyelidikan berkaitan guru prasekolah.
Ramai mungkin menganggap usia sebegini sebagai masa untuk berehat, tetapi bagi Dr Rafiah, inilah masa untuk mengejar impian yang pernah tertangguh.
Katanya, minat menyambung pengajian sudah lama wujud, namun ketika muda, beliau sering berdepan banyak cabaran yang membataskan laluan tersebut.
Beliau percaya minda tidak boleh dibiarkan pasif. Menurutnya, mengekalkan fikiran yang aktif, berilmu dan dekat dengan ilmu agama adalah dorongan utama untuk kembali belajar.
“Belajar tidak mengenal usia,” katanya ringkas tetapi sarat dengan makna, menggambarkan prinsip hidup yang membawanya menuju ke tahap ini.
Sebelum bergelar pemegang PhD, beliau mengabdikan hampir tiga dekad hidupnya sebagai pengusaha prasekolah di Bangsar, Kuala Lumpur.
Dari hanya enam murid pada awal pembukaan, prasekolah itu berkembang hingga mencecah 70 kanak-kanak.
Namun kejayaan itu tidak pernah membuatkan wanita itu leka atau terlalu mengejar keuntungan.
“Semua orang sukakan wang, tetapi keikhlasan itu lebih penting,” ungkapnya.
Personaliti tersebut turut menegaskan bahawa pendidikan ialah amanah, bukan sekadar perniagaan.
Sepanjang tempoh tersebut, prinsipnya jelas setiap murid harus dilayan sama rata tanpa mengira latar belakang, status, warna kulit atau agama. Falsafah ringkas tetapi penuh nilai kemanusiaan itulah yang membentuk siapa dirinya sebagai pendidik.
Pada hari konvokesyen, Dr Rafiah menjadi salah seorang daripada 193 penerima PhD yang menerima skrol daripada Pro Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Namun kisahnya lebih daripada sekadar angka dalam senarai graduan. Ia menjadi bukti bahawa seseorang boleh terus mencipta ruang untuk berjaya, walaupun ketika ramai menyangka masa untuk belajar sudah lama berlalu.
Kisah wanita cekal ini menjadi peringatan lembut kepada kita semua. Tidak kira usia, tidak kira berapa banyak jalan berliku yang pernah dilalui, selagi ada keinginan untuk belajar dan memperbaiki diri, selagi itu peluang untuk berjaya sentiasa terbuka.
Dr Rafiah Kassim sudah membuktikannya, semangat dan tekad adalah kunci yang tidak pernah lapuk ditelan masa.
Sumber: Facebook Sinar Varsity
Foto: Universiti Teknologi MARA - Media rasmi