HARAPAN sepasang suami isteri menimang cahaya mata sulung yang dikandung tidak kesampaian apabila detik kelahiran berakhir dengan kehilangan.
Luluh hati ibu ayah apabila anak yang dikandung selama sembilan bulan meninggal dunia asbab lemas selepas dilahirkan dalam keadaan songsang di bilik air rumah mereka.
Kejadian menyayat hati tersebut berlaku pada 19 November, sekitar jam 5.40 petang di kediaman mereka di Puncak Alam.
Menurut pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Chai yang berkongsi kisah berkenaan di Instagram, detik cemas bermula ketika ibu berkenaan tiba-tiba mengalami kontraksi. Suaminya terus bertindak mendapatkan bantuan kecemasan namun gagal berhubung.
Dalam panik, si ibu nekad menuju ke bilik air, merasai tubuh kecil bayinya yang sudah separuh keluar dalam keadaan songsang tanpa sempat mendapat bantuan perubatan di talian 999 namun tidak berjaya disambungkan. Walaupun telah menerima bimbingan dalam talian, takdir telah menetapkan bahawa anak yang dinanti-nanti itu pergi buat selama-lamanya.
"Dalam kesakitan yang semakin memuncak, si isteri berjalan ke bilik air kerana merasakan sudah hendak bersalin.
"Suami yang tidak berputus asa terus mencuba menghubungi talian kecemasan, dan panggilannya dijawab oleh operator namun talian terputus beberapa saat kemudian. Bimbang akan keadaan isterinya, si suami segera menuju ke bilik air.
"Si suami memegang tubuh bayi yang masih tersangkut pada rahim, tetapi dia tidak berani menariknya keluar walaupun didesak oleh isteri. Dalam keaadan sakit dan lemah, si ibu terus berusaha meneran berulang kali sehingga akhirnya kepala bayi berjaya dilahirkan sepenuhnya.
"Tidak lama kemudian, si bapa dapat menghubungi talian kecemasan. Operator perubatan bertindak membimbingnya melakukan bantuan pernafasan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) ke atas bayi," kongsinya.
Bagaimanapun, bayi lelaki itu yang diletakkan dipangkuan si ibu tidak menunjukkan sebarang tindak balas dan pegawai perubatan yang tiba di lokasi tidak lama kemudian mengesahkan bahawa bayi itu telah meninggal dunia.
Ibu dan bayinya kemudian dibawa ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk tindakan lanjut, termasuk proses bedah siasat.
Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Chai yang berkongsi kisah berkenaan di Instagram turut memuat naik situasi pilu pengurusan jenazah jasad wildan syurga yang dinamakan Muhammad Amir Faris.
Jenazah si kecil dibawa ke Bilik Wakaf Jannatul Firdaus untuk urusan pengurusan jenazah. Detik paling mengharukan adalah ketika si bapa diberi peluang memandikan dan mengafankan anaknya sendiri, dengan air mata yang tidak henti mengalir.
Sebelum dikebumikan, ciuman terakhir diberikan sebagai tanda perpisahan sementara di dunia. Sementara itu, si ibu menangis dan tidak henti-henti memohon maaf, mungkin dihantui rasa terkilan dan bersalah atas pemergian anak syurga itu yang tidak sepatutnya ditanggungnya.
Difahamkan jenazah si kecil itu disemadikan berhampiran pusana nenek di sebelah ibunya.
"Kelihatan berkali-kali si bapa mengalirkan air mata, meratapi kehilangan anak yang dinanti. Alhamdulillah, jasad Muhammad Amir Faris selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang selepas solat Zuhur, 20 November.
"Si ibu turun dari kereta dan berdiri di sisi pusara kecil anaknya. Terdengar kata-kata kesal 'Maafkan mama' diungkapkan membuatkan kami yang berada di situ tidak dapat menahan sebak. Pemergian anak syurga ini pasti meninggalkan ruang kosong yang tidak mungkin terisi.
"Namun setiap titisan air mata ibu dan ayah adalah bukti cinta yang tidak akan pernah hilang. Percayalah, anak kecil ini kini berada di tempat yang paling aman, dalam jagaan ALLAH SWT," kongsinya yang turut memaklumkan kos liang lahad dibayar menggunakan dana Wakaf Liang Lahad.
Warga maya tidak dapat menahan pilu menyaksikan kehilangan itu menitipkan ucapan takziah dan kata-kata semangat agar pasangan tersebut terus kuat menemuh hati mendatang.
"Ya ALLAH jadikanlah dia pendahulu dan simpanan pahala bagi ibu bapanya. Beratkanlah timbangan amal mereka dengan sebabnya."
"Berpantang tanpa bayi di sisi, hanya mak-mak yang faham. Moga pasangan ini tabah."
"Salam takziah buat kedua ibu bapa wildan syurga."
Sumber: Instagram