PENYANYI Nubhan Ahamad menyerahkan hak penjagaan tiga cahaya matanya kepada isteri, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek dalam prosiding hadanah yang berlangsung di Mahkamah Syariah Shah Alam hari ini.
Dr Afifah atau lebih dikenali sebagai Dr Fie mengucapkan syukur keputusan mahkamah berpihak kepadanya.
"Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan keputusan hari ini. Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberikan sokongan.
"Terima kasih kepada pihak di sana, Encik Ahmad Nubhan sebab banyak memberi kerjasama untuk saya dapatkan hak.
"Hak penjagaan penuh kepada saya. Alhamdulillah, saya syukur sangat. Saya sangat gembira hari ini," kongsinya.
Dalam temu ramah OfficialHLive, Dr Fie tidak dapat menyembunyikan rasa syukur atas keputusan itu mahkamah sementelah anak-anak adalah keutamaannya.
"Apa-apa pun, top priority saya tentunya anak-anak saya. Jadi, Alhamdulillah, anak-anak akan kembali dengan saya.
"Selesai tiga bulan di rumah tapi saya juga keluar bekerja. Kita kan masih perlu bekerja untuk anak-anak.
"Syukur tiada penangguhan," tutur Dr Fie.
Sementara itu peguam yang mewakili Dr Fie, Datuk Akberdin Abdul Kadir bersyukur kata sepakat dicapai dan lazimnya anak-anak yang sedang membesar diserahkan kepada pihak ibu.
"Penjagaan tiga anak diserahkan kepada Dr Afifah dengan persetujuan kedua-dua pihak. Ibu mendapat hak penjagaan kekal manakala bapa mendapat hal lawatan sebulan dua kali iaitu pada minggu pertama dan ketiga.
"Hari raya Aidilfitri dan Aidiladha anak-anak dijaga mengikut penggiliran. Tiada apa lagi berkaitan hadanah ini, semuanya sudah diselesaikan dengan cara baik.
"Segala terma persetujuan telah direkodkan dan terdapat perjanjian persetujuan serta telah ditanda tangani di majlis sulh tadi. Ia kemudian dijadikan perintah mahkamah," kata Akberdin.
Terdahulu Nubhan melafazkan talak memfailkan pengesahan dua lafaz cerai terhadap Dr Fie yang dibuatnya pada tahun 2017 dan 26 Ogos lalu, selain satu lafaz rujuk selepas talak pertama.
Dia kemudian memfailkan hak penjagaan anak kekal dan interim ke atas tiga cahaya mata mereka iaitu tiga anaknya iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille, 3, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada September lalu.
Sumber: Instagram