JABATAN Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut tropika sebentar tadi selepas mengesan satu sistem cuaca aktif berhampiran perairan negara.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi METMalaysia memaklumkan Ribut Tropika (Senyar) telah dikesan pada kedudukan Latitud 3.6° Utara dan Longitud 99.9° Timur, dan dijangka bergerak ke arah Timur Tenggara dengan kelajuan sekitar 24 kilometer sejam (km/j).
"Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora di Semenanjung Malaysia, khususnya negeri-negeri barat dan tengah Semenanjung mulai 27 November 2025," katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, METMalaysia telah mengemas kini Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Berterusan serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor berkuat kuasa dari 27 hingga 29 November 2025.
MET Malaysia menjelaslan akan terus memantau perkembangan ribut tropika berkenaan dan mengemas kini maklumat berdasarkan keadaan semasa. Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti maklumat, ramalan serta amaran cuaca terkini melalui laman web MET Malaysia, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline 1-300-22-1638.
6 INFO & PESEDIAAN RIBUT SENYAR
1-Sekadar info, nama Senyar yang bermaksud singa telah dicadangkan oleh Emiriah Arab Bersatu sebagai sebahagian daripada sistem penamaan siklon serantau Lautan Hindi Utara. Senyar mencerminkan kekuatan dan daya tahan.
2-Garis Masa Penting
22 Nov: Sistem tekanan rendah dikesan di Selat Melaka.
26 Nov: Pendaratan di Langsa, Aceh (Sumatera).
26–27 Nov: Hujan lebat dan angin kencang melanda pantai barat Malaysia.
27–29 Nov: Amaran hujan berterusan untuk Selangor dan negeri lain.
3-Negeri utara dijangka paling terjejas; manakala banjir setempat di Selangor termasuk Sekinchan.
4-Pengangkutan air seperti operasi feri dan bot kecil dihentikan susulan ombak setinggi 4.5 meter.
5-Sehingga kini,sekurang-kurangnya 107 maut di rantau ASEAN, dengan kerugian dianggarkan melebihi AS$366 juta.
6-Elakkan aktiviti pantai dan tepi sungai, sediakan kit kecemasan dan patuhi arahan pemindahan.
Sumber: MetMalaysia, Awani