PERNAH melalui saat susah ditahan wad dan dibantu pemandu Grab, pengguna Thread menyentuh hati ramai apabila menemukan ibu bapa dengan orang yang pernah membantunya.
Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia, Mirza Nurzahira Nadzaruddin, 25, menerusi akaun Mirzahiraa terdahulu tular berkongsi tentang kebaikan seorang pemandu e-hailing warga emas, Mohamad Safie membantunya ke hospital ketika dia jatuh sakit 16 November.
Ketika itu, gadis berkenaan berada jauh daripada keluarga manakala wang di tangan pula tidak mencukupi.
Bantuan yang diberikan pak cik tersebut bukan sekadar menghantar, malah turut menghulurkan sedikit duit belanja yang meninggalkan kesan mendalam pada hidupnya.
Tiba hari konvokesyennya baru-baru ini, graduan Sarjana dalam pengajian Antropologi dan Sosiologi itu membawa ibu bapanya bertemu dengan insan yang pernah menjadi ayahnya untuk sehari.
Teruja dengan pertemuan itu, Mirza berkongsi foto mereka berempat di laman sosial.
“Kalian ingat tak pak cik Grab tular sebab tolong saya hari itu. Kami ada berjumpa semalam.
"Selepas saja majlis graduasi, keluar bawa keluarga jumpa pakcik. Pak cik yang jadi ayah saya untuk sehari, akhirnya bertemu dengan ayah sebenar saya,” katanya.
Menurutnya, pada awalnya mereka merancang untuk berkunjung ke rumah Mohamad Safie di Senawang sebaik selesai majlis konvokesyen, namun terpaksa menukar rancangan kerana ada urusan lain yang perlu diselesaikan.
“Jadi saya tanya pak cik kalau dia boleh turun ke UKM pada hari konvokesyen dan dia bersetuju.
Anak ketiga dari lapan beradik ini juga berkata, tidak terlintas dalam fikirannya yang lelaki itu mahu mengambil kesempatan ke atas dirinya apabila sering menghantar mesej bertanya khabar sejak insiden terbabit.
"Lagi pun pak cik tak pernah hantar mesej yang pelik-pelik dan saya percaya dia anggap saya seperti anak sendiri.
"Saya pun tak sangka yang cerita saya dengan pak cik ini menjadi tular kerana niat saya berkongsi di media sosial kerana terharu dengan kebaikannya," katanya.
Hantaran itu menerima pelbagai reaksi warganet yang memuji kebaikan Mohamad Shafie yang menyantuni Mirza seperti anaknya sendiri.
Kisah mereka benar-benar menyentuh hati. Pertemuan pilu antara ‘ayah Grab’ dan ayah kandung Mirza di hari konvokesyen itu bukan sekadar perjumpaan biasa, tetapi simbol penghargaan tertinggi terhadap nilai kemanusiaan.
Biarpun sekadar peranan sementara, tindakan Mohamad Shafie mengingatkan kita tentang kebaikan dan membuktikan orang baik itu masih wujud.
Sumber: Thread, Sinar Harian