KETERUJAAN percutian yang diimpikan musnah sekelip mata apabila bencana alam melanda. Itulah detik pilu yang dilalui oleh seorang lelaki yang hanya sempat berhubung dengan isterinya buat kali terakhir sebelum banjir besar melanda Hatyai, Thailand baru-baru ini.
Shahrizal Kamarudin, 43, dari Ampang, pilu mengenangkan isteri tersayang Maimuna Asnan, 37, dan anak-anak yang kini entah di mana.
Seminggu terputus hubungan dengan isteri dan anak-anaknya, kali terakhir beliau mendengar khabar mereka selamat berlindung di sebuah inap desa Pani House pada 22 November lalu.
"Kami sepatutnya bercuti pada 21 hingga 24 November. Pada Jumaat (21 November) kami sampai 4 petang, sempat ke Central Hatyai dan sebelum balik inap desa, singgah makan.
"Sampai di inap desa 10 malam (waktu Thai), air kawasan jalan depan rumah memang dah naik sikit. Tanya tuan rumah selamat tak kawasan ni, dia cakap esok pagi kalau hujan lagi dia pulangkan duit, dan cari hotel lain," katanya ketika dihubungi Bernama.
Terkandas dalam insiden banjir yang mengejutkan, seminggu jiwa dan fikiran lelaki ini terawang-awang, dihimpit rasa bimbang dan rindu yang tidak tertanggung.
Shahrizal sempat mengimbas kembali pada detik akhir sebelum terpisah. Jam 3.30 pagi, pemilik inap desa meminta dia mengalihkan kereta ke tempat lebih tinggi iaitu kira-kira 1.5 kilometer dari tempat mereka menginap.
Bagaimanapun, lelaki itu gagal berpatah balik ke penginapan mereka kerana air naik terlalu cepat dan dimaklumkan isteri serta empat anak mereka berusia lima hingga 15 tahun dalam keadaan selamat.
"Saya tak dapat hubungi mereka kerana bekalan elektrik telah dimatikan di kawasan inap desa itu. Pada petang Khamis (27 Nov), saya dapat maklumat mereka selamat tapi masih tak dapat masuk ke kawasan inap desa itu kerana hanya boleh dilalui dengan bot," katanya.
Menurut Shahrizal, dia kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Hatyairatprachasun School.
"Saya tumpang kereta orang tempatan untuk keluar mencari isteri dan anak-anak.
"Saya turut dibantu anggota bomba di sini dan mereka akan cuba ke kawasan inap desa, tempat anak dan isteri berlindung selepas air sedikit surut," katanya.
Media melaporkan lebih kurang 6,000 rakyat Malaysia telah berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari kawasan terjejas banjir di selatan Thailand sejak operasi menyelamat dilancarkan beberapa hari lalu. - Bernama