KADANGKALA, takdir datang dalam bentuk ujian yang paling halus. Buat ibu ini, ujian itu hadir bersama kelahiran puterinya istimewa yang menuntut kekuatan dan kasih sayang yang luar biasa.
Baru-baru ini tular di laman sosial perkongsian ibu, Wawa, tentang si kecil Nadra Nelyssa yang meraih lebih 4 juta tontonan. Video yang memaparkan keceriaan dan keunikan Nadra itu telah menyentuh hati ramai.
Di sebalik redup wajah dan kecomelan Nadra, ramai tidak menduga bayi enam bulan mengalami Robert Syndrome yang jarang berlaku dan dilahirkan tanpa sebahagian jari.
Menerusi hantaran di TikTok, Wawa mendedahkan pada awal kehamilan semuanya kelihatan baik-baik sahaja.
Namun, seiring perkembangan usia kandungan, pada satu ketika ukuran lilit perutnya semakin berkurangan daripada ukuran yang normal.
Bimbang dengan keadaan itu, si ibu dimasukkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan akhirnya terpaksa melahirkan anak secara pembedahan kecemasan (emergency caesarean).
“Masa lahir, ALLAH beri saya anak istimewa. Robert Syndrome ini bukan sebab keturunan atau penyakit yang saya warisi tetapi masa saya mengandung, saya alami tekanan yang sangat tinggi.
"Rahim saya tak dapat nak salurkan nutrisi secukupnya kepada bayi,” tulisnya.
Walaupun kelahiran si kecil dinantikan penuh debaran, Wawa pasrah dan reda dengan ketentuan takdir.
“Masa dia lahir, ALLAH bagi saya anak istimewa tak sempurna jari tangan dan kaki, tapi sihat dari segi organ dan tumbesaran.
"Alhamdulillah, dia normal cuma kekurangan anggota saja,” kongsinya lagi.
Menerusi satu perkongsian di stesen radio baru-baru ini, Wawa berkongsi pengalaman semasa kelahiran yang mana tali pusat si kecil itu hilang lebih awal daripada biasa.
Ia rupanya telah dipotong pendek dan dicucuk jarum prosedur tertentu termasuk untuk mengambil darah. Bertambah satu, kehadiran jarum pada bahagian itu menyukarkan proses penyusuan susu ibu.
"Saya bertanya lagi, “Doktor, saya ingin tahu ke mana tali pusat anak saya?” Apabila kami melihat tubuhnya, dapat lihat bahawa badannya sudah dipasang wayar.
"Rupa-rupanya, si kecil telah dicucuk jarum pada bahagian pusat. Tali pusatnya telah dipotong lebih awal daripada kebiasaan.
"Maksudnya, apabila kami hendak membersihkan pun, hanya tinggal sedikit selaput pada bahagian hujung tali pusat itu.
"Pada tangannya tiada urat, kalau ada pun nampak halus. Saya faham, memang sukar mencarinya. Disebabkan bahagian tali pusatnya ditebuk," kongsi Wawa.
Akibatnya, bahagian pusatnya menjadi terbuka. Apabila mereka hendak mengambil darah bayi dan menjalankan semua ujian, kami dapat melihat kesukarannya.
"Ketika hendak menyusukan pun, kami tidak pasti dari arah mana hendak memegang atau menyusuinya kerana bimbang tersentuh jarum di pusatnya dan menyebabkan pendarahan," tutur Wawa dalam sebak.
Dalam titipan di TikTok, Wawa menasihatkan para bakal ibu sentiasa menjaga kesihatan mental dan fizikal semasa hamil dan mengelakkan tekanan berlebihan yang boleh menjejaskan kandungan.
“Doakan Rara bulan 12 ini nak buat ujian darah untuk kromosom study. Semoga semuanya baik-baik saja,” tulisnya.
Sekadar info, Roberts Syndrome ialah satu gangguan genetik yang jarang berlaku dan kadar kejadiannya masih tidak diketahui.