DATUK Dr Ustazah Norhafizah Musa pendakwah yang dikenali ramai. Suara lembut dan penuh sifat keibuan membuatkan ramai mudah tersentuh dengan ilmu yang disampaikan.
Baru-baru ini, pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dalam Psikologi Islam itu yang juga merupakan suri hati kepada Ustaz Dr Azhar Yaakub mendedahkan, beliau dan suami memilih untuk tinggal bersama anak serta cucu.
Memiliki tujuh cahaya mata yang terdiri daripada tiga putera dan empat puteri, Ustazah Norhafizah, 51, kini tinggal bersama keluarga besar termasuk tiga orang menantu, empat cucu serta dua orang pembantu, sekali gus menjadikan jumlah isi rumah seramai 18 orang.
Ketika ditemui SinarPlus, pemenang anugerah Tokoh Personaliti Al-Quran Kebangsaan 2023 dan Ikon Syariah Skyhill Clinic tersebut tidak lupa mengucapkan syukur atas nikmat berkenaan.
"Pertama sekali saya bersyukur kerana semua itu rahmat ALLAH. Kedua, saya melihat besarnya peranan kami sebagai ibu bapa dan datuk nenek menunjukkan teladan kepada generasi di bawah.
"Kalau ikutkan jika hanya saya dan suami sahaja, tentunya kami boleh bersantai atau tidur. Tetapi dalam situasi ini, takkan (saya biarkan) cucu tengok saya hanya berbaring sahaja.
"Kita cuba bahagiakan semua orang dan melayani, segala kepenatan hilang," kongsinya.
Artikel berkaitan:
- Ustazah Norhafizah nenek pada usia 47 tahun, sambut cucu pertama Sara El Latheefa
- "Sudah bercerai terus lari, tak boleh!" Ringkas dan padat penjelasan Ustazah Norhafizah tentang isu Iddah wanita
- Ustazah Norhafizah Musa terima menantu ketiga, dua keluarga sahabat baik kini berbesan
Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak. Dalam menjaga kerukunan isi rumah dan mengelakkan perselisihan faham, Ustazah Norhafizah mengambil pendekatan bermuhasabah dan seni menegur yang penuh hikmah.
"Ada masanya kami muhasabah menerusi grup WhatsApp atau pertemuan secara perseorangan. Kadang-kadang, saya dan suami mengambil peranan sebagai pengimbang.
"Katakan, ayah yang memberi teguran, nanti boleh jadi anak merajuk. Maka, saya memainkan peranan untuk memahamkan anak (tentang teguran ayahnya).
"Semua orang perlu terbuka dan lapang hati untuk sentiasa memperbaiki diri. Boleh jadi dengan nasihat dan teguran daripada pihak lain sama ada adik, kakak atau abang," kongsinya.
Ustazah Norhafizah menjelaskan, beliau dan keluarga besarnya tinggal serumah hanya buat sementara waktu sehingga anak-anak memiliki kediaman sendiri.
Situasi itu membolehkannya melihat sendiri perkembangan anak dan menantu, khususnya dalam cara mereka menguruskan kehidupan berkeluarga.
“Saya dan suami merasakan bahawa menjadi tanggungjawab kami untuk menunjukkan contoh yang baik.
“Suami isteri pasti ada perselisihan atau ketidaksefahaman, namun tetap perlu menunjukkan teladan yang wajar diikuti.
“Masing-masing tidak boleh mementingkan diri sendiri kerana ramai yang memerhati, termasuklah anak-anak kecil,” katanya.
Personaliti itu terdahulu ditemui SinarPlus di majlis pelancaran The Orchid Journey oleh Skyhill Clinic. Travelog inspirasi yang turut menampilkan doktor perawatan hormon dan wanita terkenal, Dr Linda Mat Hassin serta guru kepimpinan dan pembangunan organisasi, Datuk Dr Faridah Hanim Haron itu terdiri daripada 20 episod.
Menelusuri bumi Bandung dan Tokyo, siri itu membawa penonton mengikuti perjalanan penuh makna tiga figura ini dalam misi mencari keseimbangan hidup masa kini. Bukan sekadar dokumentari, ia mengajak penonton merenung nilai diri, kesihatan dan hubungan dengan Tuhan dan akan ditayangkan bermula 5 Januari 2026.