Impak lavender marriage: Pakar dedah risiko mental, reproduktif & ancaman HIV/STI pada pasangan muda

Iklan

FENOMENA lavender marriage semakin hangat dibincangkan di media sosial kerana ia memperlihatkan sisi baharu dalam dinamika rumah tangga moden.

Jika sebelum ini isu yang sering diperkatakan ialah suami yang mempunyai hubungan sejenis secara rahsia tanpa pengetahuan isteri, kini muncul pula trend yang lebih membimbangkan, perkahwinan yang tetap diteruskan walaupun pasangan mengetahui salah seorang mempunyai kecenderungan sejenis ataupun homoseksual.

Iklan
Iklan

Inilah yang disebut sebagai lavender marriage: perkahwinan antara lelaki dan wanita yang bukan dibina atas rasa cinta atau tarikan romantik, tetapi dijadikan cara untuk menutup identiti seksual sebenar salah satu pasangan.

Contohnya, lelaki yang sebenarnya gay atau wanita lesbian berkahwin kerana tekanan keluarga, tuntutan agama, atau bagi mengelakkan stigma masyarakat.

Iklan

Kedua-dua trend lavender marriage dengan sedar dan perkahwinan yang menyembunyikan orientasi sebenar dari pasangan ini bukan sahaja menimbulkan isu moral atau sosial, tetapi juga memberi implikasi kesihatan fizikal dan mental yang serius.

Iklan

SinarPlus baru-baru ini menemu bual Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Aishah Abas untuk memahami risiko sebenar di sebalik perkahwinan yang nampak “sempurna” tetapi penuh rahsia.

Dr Aishah menegaskan, risiko paling besar daripada perkahwinan sebegini adalah sexually transmitted infection (STI), termasuk HIV.

“Apabila seseorang berkahwin secara heteroseksual tetapi masih mempunyai hubungan seksual lain, risiko jangkitan berlaku, dan pasangan setia tidak sedar mereka terdedah,” kata beliau.

Masalah utama timbul kerana hubungan sulit ini biasanya tidak dilindungi dengan kondom, malah kadangkala melibatkan pasangan yang berisiko tinggi.

Minoriti stres

Berkongsi lebih lanjut, Dr Aishah memberitahu, dalam kes sebegini, ramai pasangan wanita mendapat STI atau HIV tanpa pernah 'curang'.

“Ini bahaya paling besar, orang yang paling setia boleh menjadi mangsa risiko yang mereka tak tahu pun wujud,” jelas beliau.

Selain risiko fizikal, trend kedua-dua jenis perkahwinan ini memberi tekanan mental yang serius.

Fenomena ini dikenali sebagai 'minority stress', tekanan dalaman akibat seseorang terpaksa menyembunyikan identiti seksual, berlakon menjadi orang lain, dan sentiasa takut rahsia terbongkar.

Ramai yang berkata kerana stigma dan diskriminasi masyarakat menyebabkan perkahwinan sebegini disembunyikan namun kajian dari negara seperti Kanada, Belanda dan Sweden menunjukkan risiko kemurungan, keresahan, malah cubaan bunuh diri tetap dua hingga 10 kali lebih tinggi walaupun masyarakat disana menerima orientasi seksual tersebut.

Tekanan tersebut berlaku kerana konflik dalaman dan hidup dalam rahsia, bukan semata-mata kerana norma atau budaya masyarakat.

"Secara asasnya, dari sudut perubatan, hubungan seks antara lelaki (homoseksual) dikenalpasti sebagai salah satu tingkah laku berisiko tinggi.

"Seks melalui dubur 18 kali lebih mudah menularkan HIV berbanding hubungan heteroseksual kerana tisu dubur lebih nipis dan saluran darah padat yang mudah terluka dan memudahkan transmisi virus berlaku.

"Dan lebih spesifik, dalam kes apabila lelaki homoseksual berkahwin tanpa mendedahkan orientasi sebenar kepada isteri, risiko penularan penyakit bukan sahaja kekal, malah meningkat," ujar Dr Aishah lagi.

Beliau menambah,risiko akan bertambah apabila hubungan sulit yang berlaku dengan pasangan yang enggan menggunakan kondom atau sering bertukar pasangan, serta ujian perubatan yang tertangguh kerana takut rahsia terbongkar.

"Kesannya, wanita setia boleh menjadi mangsa tanpa mengetahui risiko sebenar.

"Kajian menunjukkan peningkatan kes wanita dijangkiti HIV dan sifilis akibat pasangan lelaki biseksual terutamnya yang tidak jujur tentang orientasi sebenar," ujarnya.

Simptom awal kemurungan

Selain itu, tekanan emosi akibat perkahwinan yang tidak autentik juga boleh dikesan melalui perubahan halus emosi, tingkah laku, dan tubuh.

Dr Aishah mengakui, penting mengenal pasti simptom awal kemurungan atau tekanan melalui pneumonik SAD A FACES, yang mudah diingat:

S – Sleep disturbance (Gangguan tidur): susah tidur, tidur tak lena, atau terjaga awal kerana fikiran tak berhenti.

A – Appetite changes (Perubahan selera makan): hilang selera atau makan berlebihan sebagai cara menenangkan diri.

D – Depressed mood (Mood murung): kelihatan kosong, cepat sebak, hilang semangat walaupun cuba berlakon normal.

A – Anhedonia (Hilang minat): aktiviti yang dulu menyeronokkan terasa hambar.

F – Fatigue (Letih keterlaluan): letih mental memberi kesan kepada tenaga fizikal.

A – Agitation / Anxiety (Resah atau gelisah): cepat cemas, sukar duduk diam, rasa tidak selamat.

C – Concentration difficulties (Kurang fokus): mudah lupa dan susah membuat keputusan kecil.

E – Esteem low (Harga diri merosot): rasa tidak cukup baik dan sering menyalahkan diri.

S – Suicidal thoughts (Fikiran tentang mati): bukan semestinya niat bunuh diri, tetapi rasa 'lebih baik kalau saya tiada' — satu red flag yang memerlukan perhatian segera.

Sebagai langkah pencegahan, sebaiknya berjumpa dengan kaunselor untuk mendapatkan bantuan bagi mereka yang terjebak dengan perkahwinan sebegini.

Dari segi aspek kesihatan pula, dapatkan saringan kesihatan terutamanya saringan penyakit hiv dan jangkitan seksual (STD) secara berkala sekiranya berisiko.

Bagi mereka yang risau rahsia terbongkar jika ke klinik mendapatkan saringan, beliau menekankan prinsip kerahsiaan perubatan: semua maklumat pesakit, termasuk sejarah hubungan dan keputusan ujian, dijaga rapi.

"Klinik kesihatan kini direka mesra pelanggan dan privasi terjamin. Akses saringan HIV dan STD kini lebih mudah, termasuk ujian kendiri di rumah menerusi testnow.com, yang meningkatkan liputan saringan dan memberi keyakinan kerana boleh dilakukan secara privasi.

"Bagi wanita, saringan pra-perkahwinan dan ujian antenatal amat penting untuk melindungi diri sendiri dan bayi.

"Tanpa rawatan, risiko ibu menjangkiti bayi ialah 30–45 peratus, tetapi dengan rawatan antiretroviral (ART) yang konsisten, risiko boleh turun ke bawah satu peratus," kongsinya lagi.

Walaupun Dr Aishah tidak menggalakkan hubungan tidak jujur, beberapa langkah kesihatan minimum perlu diambil: pemeriksaan kesihatan sebelum dan selepas berkahwin (HIV dan penyakit jangkitan seksual ), perancangan kehamilan selamat jika ada risiko jangkitan, serta kejujuran dan saringan berkala untuk melindungi kedua-dua pasangan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam itu juga menegaskan, trend lavender marriage dan perkahwinan melibatkan isu pasangan yang mempunyai hubungan sejenis dengan senyap ini berkait dengan pelbagai faktor yang menjebakkan remaja ke dalam tingkah laku homoseksual melalui:

- Aplikasi hubungan homoseksual yang memudahkan pertemuan berisiko.

- Media massa dan media sosial yang menormalisasi homoseksualiti secara terang atau tersembunyi tanpa konteks keselamatan.

- Budaya sexual grooming, termasuk lelaki sesama lelaki yang memanipulasi remaja ke arah hubungan tidak selamat.

- Budaya hiburan global yang mengangkat eksperimen seksual dan gaya hidup bebas risiko tinggi sebagai sesuatu yang “trendy” atau normal.

Ketiadaan penghayatan dalam modul pendidikan seksualiti

Malah katanya, walaupun terdapat pelbagai silibus Pendidikan seksualiti, ketiadaan penghayatan dalam modul ini meningkatkan risiko remaja terjebak dalam tingkah laku seksual berisiko, termasuk memilih lavender marriage sebagai 'jalan selamat'.

"Pesanan paling penting adalah jangan menghukum tetapi jangan abaikan keselamatan. Risiko HIV dan STI tetap nyata, dan pasangan yang setia boleh menjadi mangsa tanpa mengetahui apa-apa.

"Pendidikan seksualiti berasaskan nilai budaya dan agama adalah penting untuk melindungi maruah, keselamatan, dan kesihatan generasi muda.

“Semua ini bermula di rumah. Pendidikan seksualiti bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan; jika kita jadikan topik ini tabu, anak-anak akan mencari jawapan daripada rakan dan internet — yang selalunya penuh risiko.

Pendidikan seksualiti yang terbaik ialah pendidikan yang berlandaskan Islam, kerana agama kita menekankan maruah, batas pergaulan dan keselamatan

"Empati pada manusia, tetapi tegas menangani punca masalah, adalah kunci. Lavender marriage mungkin nampak menyelesaikan isu sosial atau ekonomi, tetapi kesannya terhadap kesihatan fizikal dan mental nyata dan tidak boleh dipandang ringan," ungkap beliau.

Sebab itu, penyelesaian jangka panjang bukan menutup konflik identiti dengan perkahwinan, tetapi melahirkan generasi yang bebas tingkah laku berisiko dengan menangani punca hiperseksualiti dari akar.